Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan perintah persekutuan memaksa syarikat gergasi auto, General Motors (GM) menghasilkan ventilator berikutan kelengkapan hospital itu semakin kritikal dengan peningkatan kes COVID-19.
Bagi menyokong perintah itu, Trump menggunakan Akta Pengeluaran Pertahanan (DPA) bagi mempercepatkan komitmen pembuatan ventilator yang sebelum ini tertangguh, berikutan masih peringkat rundingan.
Akta yang lazim diguna pakai ketika waktu perang untuk menggesa sektor swasta menghasilkan bekalan bagi memenuhi keperluan pertahanan. Ia membolehkan Rumah Putih mengarahkan GM ‘terima, laksana dan beri keutamaan untuk ventilator’.
Beliau berkata, rundingan itu produktif, memerlukan tindakan segera bukan untuk membuang masa seperti dilakukan GM.
“Penghasilan cepat adalah usaha kita memerangi virus dan dengan lebih banyak ventilator, ia akan menyelamatkan ramai orang,” katanya.
Trump menegaskan keputusan itu menunjukkan AS tidak teragak-agak untuk menggunakan kuasa penuh Kerajaan Persekutuan bagi memerangi krisis.
Penasihat Rumah Putih, Peter Navarro dilantik sebagai penyelaras inisiatif di bawah akta itu.
Menurut New York Times, Rumah Putih sudah merancang mengumumkan rundingan antara GM-Ventec. Namun tergendala kerana projek yang menelan AS$1 bilion (RM4.37 bilion) mempunyai masalah loji pengeluaran.
Gabenor New York, Andrew Cuomo, berkata wilayah AS itu terjejas teruk akibat Covid-19 hingga kerajaan dirayu membekalkan lebih banyak ventilator, disebabkan pertambahan kes secara mendadak.