Proton telah memulakan aktiviti penghasilan pelindung muka untuk barisan hadapan perubatan seiring dengan komitmen syarikat itu membantu memerangi penyebaran virus Covid-19.
Kumpulan pertama iaitu sebanyak 8,000 unit pelindung muka telah dihantar semalam (16 April) ke hospital-hospital di Kelantan dan seterusnya ke negeri-negeri pantai Timur yang lain.
Kakitangan di Kilang Proton Shah Alam yang tidak beroperasi sejak 18 Mac bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kembali dengan aktiviti pemasangan pelindung muka oleh kakitangannya.
Proses bermula dengan membuat rekaan dan menguji prototaip serta mendapatkan maklum balas daripada pengguna untuk memastikan produk akhir memenuhi keperluan ditetapkan.
Pada masa yang sama, pasukan projek perlu mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk menghasilkan peralatan tersebut secara selamat dan cekap bagi memenuhi protokol kesihatan Covid-19.
Seramai 50 orang kakitangan bekerjasama memasang peralatan tersebut dengan mengukur dan memotong pelbagai komponen yang diperlukan sebelum memasang produk akhir.
Dianggarkan 3,000 unit mampu dihasilkan dalam sehari, dan Proton menjangkakan aktiviti ini akan mengambil masa kira-kira 20 hari untuk menghasilkan 60,000 unit pelindung muka seperti yang dijanjikan.
Syarikat itu telah turut dibantu komuniti pembekalnya yang ingin terlibat sama dalam usaha ini. Salah satu sumbangan yang diterima adalah dari Pos Logistics Sdn Bhd, iaitu salah satu penyedia perkhidmatan logistik terbesar di Malaysia.
Mereka menyumbang lebih daripada 2,000 kotak besar yang digunakan untuk membungkus pelindung muka tersebut dan memudahkannya untuk dipindahkan.
Pembekal komponen automotif, HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd juga antara pembekal lain yang menyokong inisiatif ini.
Mereka telah menyumbang sebanyak 1500kg polipropilena, salah satu komponen utama bagi bampar sebuah kereta, yang digunakan untuk menghasilkan bingkai pelindung muka tersebut.
Reka bentuk asal pelindung muka ini adalah sumbangan dari Universiti Teknologi MARA (UITM). Kemudian, pereka di PROTON Design membina bingkai peralatan ini berdasarkan maklum balas dari pengguna dan turut menambah slogan STAY STRONG! We will get through this!
“PROTON sangat berbesar hati menerima maklum balas dari pelbagai pihak bagi projek pelindung muka ini. Bilangan kakitangan yang secara sukarela ingin membantu juga memberangsangkan, walaupun mereka terpaksa mengambil risiko meninggalkan rumah mereka dan datang bekerja.
“Berikutan itu, kami telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan semua pekerja berada di dalam keadaan yang selamat dengan menyediakan PPE serta menetapkan jarak minimum antara satu sama lain,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Eksekutif Pegawai Proton.