Cuba bayangkan Usain Bolt – pemegang rekod dunia untuk sukan pecut 100m – pergi menjalani latihan atau bersiar-siar memakai sut Burberry biru gelap dengan jalur pinstripe halus seperti gambar di bawah ini:
Okey dah bayangkan?
Begitulah perumpamaan Volvo S60 T8 ini. Sebuah sedan dengan prestasi seperti kereta sports tetapi ‘dilindungi’ oleh penampilan kemas dan segak. Ia mampu membuatkan geng Wiralution atau Civic tebuk bampar belakang tersalah sangka, mencucuk S60 T8 ini lalu makan asap tak lama kemudian.
Volvo S60 T8 merupakan S60 generasi terkini yang dilancarkan di Malaysia hujung tahun lepas, boleh baca laporan pelancarannya di sini.
Untuk pasaran global, S60 ditawarkan dalam varian T5, T6 dan T8 Twin Engine, tetapi hanya T8 Twin Engine ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Versi PHEV ini menggunakan powertrain atau rangkaian kuasa yang sama dengan model lain seperti XC60 T8 dan XC90 T8.
Tenaga seorang atlet, gaya seorang model sut
Rangkaian kuasa ini terdiri dari enjin 2.0-liter Drive-E dengan supercharger dan turbocharger yang menghasilkan 320hp dan 400Nm tork. Tetapi enjin ini dibantu oleh bateri lithium-ion berkuasa 11.6kWh yang menghasilkan tambahan 87hp dan 240Nm tork.
Ini menjadikan jumlah output S60 ini sebanyak 407hp pada 5,700rpm dan 640Nm pada 1,200-5,400rpm. Ini dah lebih berkuasa dari VW Golf R, Renault Megane RS dan Mercedes-AMG C43!
Kuasa dari enjin disalurkan ke tayar depan melalui transmisi automatik 8-kelajuan, manakala gandar belakang menerima kuasa dari motor elektrik. Secara tak langsung dalam sesetengah keadaan, S60 T8 ini sebuah jentera pacuan semua-roda.
Pecutan 0-100 boleh dilakukan dalam 4.4 saat, kelajuan maksima dihadkan kepada 250km/j ‘sahaja’.
Dan seperti diperkatakan, prestasi di atas dilindungi oleh gaya segak yang bersahaja. Dengan lampu depan LED “Thor’s hammer”, garisan-garisan lurus yang kemas dan rekaan lampu belakang unik yang lain dari kereta premium kebiasaan.
Model Volvo dengan pengendalian terbaik
Sejujurnya, penulis harus katakan Volvo bukanlah terkenal dengan pengendalian mantap yang digemari pemandu tegar.
Jika anda pemandu jenis ini, mungkin anda akan lebih suka BMW 3-Series atau Jaguar XE dan Alfa Romeo Giulia.
Walaupun dalam mod Sport, model Volvo seperti kami pandu sebelum ini tetap terasa lembut terutamanya di suspensi belakang. Tetapi untuk S60 T8, Volvo mendakwa ini model mereka dengan pengendalian terbaik dan memfokus kepada pemandu.
Setelah beberapa hari penulis memandu S60 ini, ia tidaklah bersifat sporti sangat. Prestasinya enjin dan pecutannya cukup tinggi, tapi sterengnya kurang feel dan tindakbalas, dan bunyinya terlalu senyap.
Walaubagaimanapun kabinnya sangat selesa, terasa premium dengan bahan-bahan berkualiti tinggi di tempat duduk dan stereng, kadar NVH rendah, dan tidak memenatkan walaupun dipandu lama atau jauh.
Ingin juga penulis kongsikan terdapat satu ketika di lebuhraya ELITE, di depan penulis sebuah Ford Mustang GT.
Penulis tidak “mencucuk”nya, hanya kekal di jarak selamat, Mustang itu bertanggungjawab memberi lampu tinggi “menghalau” kereta-kereta perlahan supaya ke kiri. Dan setiap kali ada ruang di depan, Mustang itu akan memecut agresif; terdengar bunyi dia downshift dan ekzos memainkan bunyi V8 yang merdu.
Namun Volvo S60 T8 dipandu penulis dapat memecut dengan kadar sama, mengekalkan jarak di belakang Mustang itu, tetapi dengan senyap tanpa sebarang bunyi atau drama. Sama ada anda suka atau tidak kereta laju yang senyap, itulah karakter S60.
Di selekoh, Volvo S60 ini sememangnya boleh mengambil selekoh dengan baik dan mempunyai had cengkaman yang tinggi kerana dilengkapi tayar 235/40 dan rim 19-inci.
Cuma rasa di selekoh untuk pemandu itu kurang memuaskan. Mungkin jika pandu Toyota GT-86 atau Proton Satria Neo lebih memuaskan di sini.
Laju sambil menjaga alam sekitar
Di samping kelajuan dan prestasi mantap, penulis agak kagum kerana kereta ini masih mampu mencatat 12km per liter. Ya, tidak sejimat Myvi atau Bezza, tapi harus diingat kereta ini mempunyai berat lebih 2 tan (2,041kg) dan berkuasa lebih 400hp.
Ciri keselamatan termaju
Tak sahlah sebuah Volvo kalau tak cerita bab keselamatan, bukan? Volvo S60 T8 dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini dan termaju dari Volvo.
Punya lah banyak ciri keselamatan pada kereta ini yang dijenamakan sebagai Intellisafe, sampai dia bahagikan kepada tiga cabang; Intellisafe – Preventive Safety, Intellisafe – Protective Safety dan Intellisafe – Child Safety.
Preventive Safety lebih kepada ciri keselamatan aktif yang bekerja sebelum terjadinya kemalangan, Protective Safety pula ciri pasif untuk semasa atau selepas kemalangan. Child Safety pula seperti pada namanya, adalah khas untuk kanak-kanak. Anda boleh lihat senarai penuh ciri keselamatan di sini.
Ingin penulis ketengahkan, seperti yang ditulis dalam laporan pandu uji Volvo XC40 T5, ciri keselamatan pada S60 T8 ini juga menzahirkan kematangan syarikat itu dalam bab ini.
Segala fungsi aktif bekerja sangat lancar seperti manusia sendiri yang mengawalnya. Ia tidak terasa janggal atau teragak-agak seperti robot yang kurang keyakinan.
Untuk siapa Volvo S60 T8 ini?
Bagi penulis, kereta ini sesuai untuk dua golongan pembeli. Pertama, jenis yang mahukan prestasi, tetapi tidak mahu drama-drama seperti ekzos kuat, pemanduan agresif, spring melambung dan ruang kabin bising. Sedar-sedar kereta ini ‘pergi’ je berdesup.
Golongan kedua ialah mereka yang mahukan sedan premium, tetapi mahu lari dari kebiasaan jenama Jerman. Mercedes E-Class dan BMW 5-Series senang nampak merata-rata, tetapi tidak Volvo S60 ini. Pembeli golongan ini berani, yakin dengan pilihannya dan tidak kisah akan pendapat orang lain.
Jarang penulis sukakan kereta premium senyap dan selesa begini, tetapi Volvo S60 T8 ini nampaknya menjadi salah satu kereta idaman penulis!
Spesifikasi Volvo S60 T8 R-Design
Harga: RM295,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 1,969cc Drive-E, 4-silinder petrol, turbo dan surpercaj
Kuasa: 320 hp
Tork: 400 Nm
Bateri: Lithium-ion 11.6kWh
Kuasa maksima: 407 hp @ 5,700 rpm
Tork maksima: 640 Nm @ 1,200-5,400 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan dengan Geartronic
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Berat: 2,041 kg
Sistem keselamatan: 7 beg udara, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Information System, Cross Traffic Alert, Seat-belt Detection, Side-Impact Protection System, Whiplash Protection System, ISOFIX