Toyota telah melancarkan Yaris Cross, sebuah SUV kecil untuk Eropah dengan pilihan janaan kuasa petrol dan hibrid.
Ia sepatutnya membuat pelancaran di Geneva Motor Show tahun ini yang telah dibatalkan, dan mula dijual di Eropah awal tahun depan.
Di sana, Toyota Yaris Cross akan bersaing dengan model seperti Nissan Juke dan Ford Puma. Tetapi jika dikatakan Yaris Cross ditawarkan di Malaysia, kami rasa ia akan berdepan dengan Proton X50.
Yaris Cross dibina di atas pelantar TNGA-B dan berkongsi beberapa komponen dengan hatchback Yaris.
Toyota berkata Yaris Cross ini direka untuk menawarkan “kualiti pemanduan lebih tinggi seperti SUV, tetapi dengan saiz khas untuk kawasan bandar”.
Bahagian luarannya direka agar mempunyai bentuk berlian jika dilihat dari atas, dengan fokus pada paksi menegak serta gerbang (fender) roda yang besar dan bersegi untuk mengukuhkan imej SUV-nya.
Crossover ini mempunyai wheelbase sama dengan Yaris biasa iaitu 2,560mm, tetapi panjang keseluruhannya dipanjangkan sebanyak 240mm menjadi 4,180. Jadi, ruang kabin sepatutnya lebih luas.
Yaris Cross akan ditawarkan dengan enjin petrol-elektrik hibrid Atkinson-cycle yang sama dengan Yaris di Eropah, dengan 114hp. Untuk mereka yang tak mahukan hibrid, boleh memilih enjin petrol konvensional 1.5-liter.
Terdapat pilihan pacuan roda-depan dan pacuan semua-roda yang diberi nama Intelligent All-Wheel Drive. Tidak dikawal secara mekanikal seperti sistem biasa, sistem ini menggunakan elektrik yang memberi kuasa kepada tayar depan kebanyakan masa, tetapi menghantar kuasa ke tayar belakang apabila perlu.
Untuk ciri keselamatan, Yaris Cross akan mendapat Toyota Safety Sense, dengan kawalan brek automatik dan bantuan stereng. Unit hiburan akan disokong oleh Apple CarPlay dan Android Auto.
Toyota berkata Yaris Cross direka untuk pelanggan Eropah, dan akan ditawarkan juga di pasaran lain termasuk Jepun dan Australia.
Patutkan Yaris Cross ini dibawa masuk ke Malaysia? Jika harganya sama dengan Proton X50, mana satu jadi pilihan anda?