Setelah giliran Geneva Motor Show dan beberapa acara lain, kini pameran kereta klasik iaitu Pebble Beach Concours d’Elegance kini telah dibatalkan.
Acara yang dijadulakan akan diadakan di Amerika Syarikat pada 16 Ogos ini telah dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19.
Acara pada tahun ini merupakan acara yang penting kerana ianya bersamaan dengan ulang tahunnya yang ke-70.
Walau bagaimanapun, acara ini akan diadakan semula pada tahun depan, bersamaan dengan 15 Ogos 2021. Sesiapa yang telah membeli tiket untuk acara tahun ini boleh menggunakannya di acara pada tahun depan. Bayaran balik juga tersedia untuk tiket tahun 2020.
“Hati saya terkesima kepada semua orang yang terlibat dalam Pebble Beach Concours d’Elegance dan yang terkesan dengan keputusan ini,” kata Pengerusi Concours, Sandra Button.
“Sebilangan besar peserta telah bekerja keras dalam menghasilkan sebuah kereta khas selama bertahun-tahun, dan inilah waktu mereka mempamerkannya.
“Sebilangan peserta dari luar negara hampir tiba dengan membawa kereta mereka yang diletakkan di atas kapal dan kapal terbang, dan aturan perjalanan mereka sendiri telah lama dibuat. Perkara yang sama berlaku untuk barisan hakim antarabangsa kami,” katanya.
Pemilihan kereta untuk pertunjukan pada tahun ini sudah selesai dimana para peserta mendapat pemberitahuan rasmi mengenai penerimaan mereka beberapa minggu lalu.
Mereka bernasib baik pada tahun ini kerana kereta mereka telah dijemput untuk pertunjukan pada tahun depan.