Ford hari ini telah mengesahkan mereka akan memulakan semula operasi pengeluaran di kilang-kilang kenderaanya di Eropah bermula 4 Mei.
Secara berperingkat, aktiviti pengeluaran akan bermula di kilang pemasangan kenderaan Saarlouis (Jerman), kilang pemasangan enjin Cologne (Jerman), kilang pemasangan Valencia (Sepanyol), dan kilang pemasangan kenderaan dan enjin Craiova (Romania).
Pada 18 Mei pula, operasi pengeluaran akan bermula di kilang enjin Valencia, manakala kilang enjin Dagenham dan Bridgend di UK akan dimulakan pada tarikh yang akan diberitahu kelak.
“Kami harus bersedia dengan suasana baharu apabila melepasi kemuncak pandemik Coronavirus di Eropah, dengan keutamaan untuk kembali bekerja dan pelaksanaan standard global Ford untuk protokol penjarakan sosial di tempat kerja.
“Kakitangan kami harus sedar yang kami mengambil langkah-langkah diperlukan untuk menjaga mereka di tempat kerja,” kata Stuart Rowley, presiden Ford of Europe.
Antara langkah penjagaan keselamatan dan kesihatan Ford di semua kilang pengeluaran dan pemasangan di Eropah adalah:
- Memasuki kawasan kilang dengan pemakaian topeng muka dan pelindung muka di kawasan yang tidak dapat mengamalkan penjarakan sosial
- Pemeriksaan suhu badan di semua pintu masuk
- Penilaian tahap kesihatan dan kecergasan pekerja setiap hari sebelum masuk bekerja
- Pengubahsuaian pada tempat kerja untuk memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi
Ford juga akan mengeluarkan topeng muka sendiri di fasiliti-fasilitinya di seluruh Eropah. Ini adalah untuk mengurangkan permintaan dan rantaian antara mereka yang terlibat dalam penghantaran.