PKP: Tak perlu kelulusan rentas negeri, hanya isi Gerak Malaysia bagi yang terkandas dan mahu pulang ke rumah bekerja

2540

Orang ramai yang terkandas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya perlu mengisi maklumat di aplikasi Gerak Malaysia untuk membuat perjalanan rentas negeri dan tidak perlu menunggu kelulusan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya tidak memberikan notifikasi kepada individu terbabit sama ada permohonan itu diluluskan atau sebaliknya.

“Polis akan mendapat akses maklumat pemohon menerusi aplikasi Gerak Malaysia. Jika mereka ditahan di sekatan jalan raya, anggota polis mempunyai maklumat individu itu yang mahu pulang ke rumah masing-masing,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.



Imej: semakanonline.com

Huzir menambah, polis menetapkan empat hari mulai Khamis (7 Mei) hingga Ahad (10 Mei) ini, bagi membolehkan orang ramai yang terkandas membuat perjalanan rentas negeri, kembali ke kediaman masing-masing dari seluruh negara.

PDRM sudah menerima 503,276 permohonan untuk membuat pergerakan bersama keluarga dalam tempoh 25 April hingga semalam. Seramai 1.2 juta individu sudah memuat turun aplikasi Gerak Malaysia menerusi telefon pintar masing-masing.

“Orang ramai diminta untuk mengemas kini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri,” katanya.

Berikut adalah jadual perjalanan yang ditetapkan menurut kawasan:

Khamis, 7 Mei – Terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke negeri lain di seluruh negara.
Jumaat, 8 Mei – Dari Perak, Johor dan Kelantan ke destinasi masing-masing terutama Kuala Lumpur.
Sabtu, 9 Mei – Dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.
Ahad, 10 Mei – Dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Huzir berkata, jadual pergerakan itu dirancang oleh PDRM supaya semua pengguna tidak tiba di sesuatu lokasi khususnya sekitar Kuala Lumpur secara serentak.

Pengguna digalak membuat pergerakan waktu malam pada tarikh yang ditetapkan berkenaan, khususnya selepas waktu berbuka puasa.

Beliau mengingatkan semua pengguna yang pada tarikh pergerakan ditetapkan, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuh raya yang dilalui.

Surau sepanjang lebuh raya juga ditutup, selain orang ramai tidak dibenarkan bersolat di kawasan lapang atau bangunan sekitar R&R. Hanya kemudahan tandas awam beroperasi di lebuh raya.

Kawasan letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna yang singgah tidak dibenarkan keluar dari kenderaan masing-masing, kecuali untuk menggunakan tandas awam.

Stesen minyak di lebuh raya hanya beroperasi jam 6 pagi hingga 12 tengah malam. Pengguna juga dilarang membuat pergerakan secara berkumpulan sepanjang lebuh raya.

Sementara itu, bagi yang tidak mempunyai aplikasi Gerak Malaysia, mereka boleh mendapatkan borang rentas negeri menerusi Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka perlu mencetak dan mengisi borang berkenaan sebelum dibawa ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan kelulusan.

“Ia bagaimanapun hanya tertakluk kepada orang awam yang berada di Semenanjung yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia untuk memohon membuat pergerakan (rentas negeri).

“Permohonan manual ini boleh dibuat bermula hari ini namun orang ramai selepas itu perlu membuat janji temu dengan balai berdekatan bagi urusan penghantaran borang bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata kelulusan akan diberikan pada hari sama selepas borang berkenaan diserahkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum empat penumpang, dengan syarat mestilah daripada keluarga dan rumah yang sama.

Ini kerana isu penjarakan sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga yang tinggal serumah, justeru tiada masalah mereka menaiki kenderaan persendirian bersama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here