Mazda Malaysia telah mengumumkan Mazda CX-30 versi 2020 yang dikemaskini. Selain itu, model crossover itu kini ditawarkan juga dengan varian AWD, iaitu 2.0L SkyActiv-G AWD.
Senarai harga Mazda CX-30 2020:
2.0G – RM145,759.00
2.0G High – RM164,059.00
1.8D High – RM172,943.60
2.0G High AWD – RM176,059.00
Untuk 2020, varian sedia-ada kini menerima Mazda Advanced Keyless iaitu kemasukan tanpa kunci, berserta dengan fungsi Walk Away Lock.
Model-model petrol dijana oleh enjin 2.0-liter SkyActiv-G 4-silinder yang menghasilkan 163hp dan 213Nm tork.
Untuk varian diesel 1.8D High pula, ia dikuasakan enjin 1.8-liter SkyActiv-D yang menjana 114hp dan 270Nm tork.
Kesemua model dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan, cuma varian 2.0G, 2.0G High dan 1.8D High adalah pacuan roda-depan.
Jika anda mahu CX-30 dengan pacuan semua-roda AWD, satu-satunya pilihan ialah 2.0G High AWD dengan enjin petrol.
Unik untuk model AWD, ia mendapat sistem i-Activ AWD yang mengawal pengagihan tork secara proaktif. Bergantung kepada situasi pemanduan, ia boleh menyalurkan seluruh kuasa kepada tayar depan sahaja, atau sama banyak kepada semua roda.
Sistem ini juga dilengkapi dengan Off-road Traction Assist yang menghantar kuasa kepada tayar-tayar yang bersentuh dengan permukaan jalan untuk memaksimakan cengkaman.
Kesemua model CX-30 adalah CBU dari Jepun. Pilihan warna termasuklah Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Snowflake White Pearl, Titanium Flash dan Polymetal Gray Metallic.
Kami telah memandu uji CX-30 ini beberapa bulan lepas, boleh tonton di sini.
Kesemua model Mazda kini mendapat jaminan 5-tahun dan penyelenggaraan percuma 5-tahun (kecuali Mazda BT-50). Jaminan dan penyelenggaraan ini juga sah sehingga 100,000km, yang mana dahulu.