Pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Naza Kia Malaysia kini memperkenalkan MPV yang sempurna buat seisi keluarga iaitu Kia Grand Carnival 2020 yang telah dinaiktaraf.
MPV tersebut diperkenalkan dengan ciri tambahan menerusi penggunaan ruang kabin dan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Ianya untuk memastikan keselesaan pengguna dan pengendalian yang stabil walaupun mempunyai saiz yang besar.
Kia Grand Carnival direka untuk memaksimumkan ruang melalui penggunaan tempat duduk Multiflex yang inovatif. Ciri ini membolehkan penggunanya mengubah kapasiti tempat duduk, dimana ia boleh diubah mengikut jumlah penumpang bermula dari 6 hingga 11 orang.
Untuk ruangan kabin, jentera ini dilengkapi dengan skrin sesentuh HMI (human machine interface) 7-inci yang disertakan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, sistem pengecaman suara pada stereng turut disertakan, bersama dengan cermin automatik dengan kunci keselamatan dan tambahan port mengecas USB di tempat duduk baris keempat.
Untuk bahagian luar, jentera ini dihiasi dengan rim 18 inci yang disertakan dengan tayar 235/60, yang akan memberikan daya cengkaman lebih besar dan perjalanan yang lebih lancar.
Bahagian hadapan jentera ini dilengkapi dengan lampu utama dan kabus projektor halogen, manakala pada kedua belah bahagian sisi, ia disertakan dengan pintu gelongsur berkuasa.
Grand Carnival ini dikuasakan oleh enjin diesel TCI 2.2-liter yang mampu menghasilkan 200PS pada 3,800rpm dan 440Nm tork yang boleh dicapai pada rpm serendah 1,750rpm.
Transmisi kotak gear 6-kelajuan sebelum ini telah digantikan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang baru.
Untuk harga, jentera ini dijual akan dijual dengan harga RM179,888, tidak termasuk insurans yang ditawarkan dengan lima tahun waranti. Ianya diberi empat pilihan warna membabitkan putih, perak, hitam dan kelabu.