Perodua mula operasi penuh secara rasmi di seluruh negara dengan SOP dan norma baharu

1981

Perodua secara rasmi telah kembali beroperasi sepenuhnya di semua 182 pusat jualan, 202 pusat servis dan 68 pusat Badan & Cat (B&P) di seluruh negara. Syarikat itu telah menutup operasinya selama dua bulan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

“Hari ini, kami mengumumkan bahawa kami telah selesai melaksanakan langkah-langkah penjagaan yang diperlukan di semua pusat jualan, servis dan B&P kami di seluruh negara bagi memastikan para pelanggan yang dihargai serta pekerja kami dilindungi secukupnya di dalam situasi COVID-19 kini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.



“Pengeluaran di Sungai Choh telah bermula sebahagiannya dari 11 Mei dan kini berjalan sepenuhnya. Kami berharap agar kami dapat memenuhi setiap permintaan secepat yang mungkin,” tambah beliau.

Cawangan-cawangan Perodua juga telah memulakan operasi secara berperingkat dari 12 Mei dan syarikat tersebut telah bekerja keras untuk memastikan semua langkah keselamatan dan kesihatan dilaksanakan dengan betul dan menyeluruh.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami yang dihargai atas kesabaran dan kesetiaan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera,” katanya.

Pelanggan yang ingin menyelenggara kenderaan mereka adalah diminta untuk mendapatkan slot janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis pilihan mereka – walk-in tidak akan diterima buat masa ini untuk mengelakkan kesesakan.

Semua pelawat mestilah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftarkan maklumat diri mereka dan mematuhi penanda jarak sosial di dalam premis setiap masa. Pembersih tangan telah ditempatkan di lokasi-lokasi penting, manakala pembersihan secara berkala turut dibuat ke atas premis tersebut.

“Perlindungan ini adalah sebahagian daripada komitmen kami terhadap kesihatan dan keselamatan bersama dalam memastikan Pengalaman Perodua anda berjalan dengan lebih baik,” kata Dato’ Zainal.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here