Sebuah jentera Ducati 996 R keluaran awal tahun 2000 yang masih baru telah dijumpai dalam kotak kayu dalam garaj syarikat di San Diego, Amerika Syarikat.
Superbike ini disertakan dengan ciri khas seperti brek Brembo dan kaliper 4-piston pada bahagian hadapan. Ia juga merupakan edisi terhad dengan nombor siri 390 (VIN – ZDMH200AA1B013847).
Sebanyak 500 unit jentera ini pernah dihasilkan oleh Ducati pada tahun 2001.
Jika dilihat dari penampilan, jentera ini merupakan model spesifikasi Eropah berdasarkan angka speedometer yang menggunakan unit kilometer. Ia dilengkapi dengan enjin V-twin yang mampu menghasilkan sehingga 136hp pada 10,200rpm, dan 105Nm tork pada 8,000 rpm.
Huruf R pada jentera ini bermaksud Racing dan ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi dari Ohlins.
Setiap unit jentera ini akan disertakan dengan plat logam yang menyatakan nombor siri sesebuah jentera.
Jentera ini tidak pernah didaftarkan atas nama sesiapa. Menurut sumber, ia pada mulanya dihantar oleh seseorang ke syarikat tersebut.
Oleh kerana keadaannya yang tidak diketahui, individu yang sepatutnya menjadi pemilik jentera ini tidak pernah datang untuk mengambilnya. Jentera yang masih berada di dalam kotak ini kemudiannya disimpan garaj syarikat.
Berdasarkan syarat kontrak, dalam tempoh masa tertentu, jika pelanggan tidak membayar servis dan tidak mengambil harta mereka, barangan itu secara automatik menjadi hak milik syarikat.
Kini Ducati 996 R (2000) itu telah diiklankan untuk jualan dan sudahpun dibeli pada harga AS$24,900 (RM108,250).