Perodua nampaknya mengambil inisiatif menurunkan harga kenderaan mereka (harga atas jalan tanpa insurans) lebih awal dengan memberikan rebat tunai antara 3 hingga 6 peratus.
Rebat itu akan diberikan bermula hari ini hingga 14 Jun 2020. Kemudian, harga baharu ini akan kekal sepanjang tempoh pengurangan cukai seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata: “Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15hb Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3 peratus hingga 6 peratus bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini.”
“Kami ingin membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan.
“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15hb Jun,” tambah beliau.
Dalam ucapan Rancangan Pemulihan Ekonomi pada 5hb Jun, Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk merangsang ekonomi di sebalik krisis COVID-19 yang sedang melanda negara.
Antara insentif untuk membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50 peratus bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.
Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.
“Rakyat Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja berikutan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, namun kenderaan persendirian masih diperlukan pada masa yang sukar ini,” kata Dato’ Zainal.
Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41 peratus pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD).
Dengan kandungan tempatan melebihi 90 peratus bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.
“Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami ingin menyatakan semula komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu industri menempuhi fasa yang sukar ini,” kata Dato’ Zainal.