Hyundai Motor Group akan mengadakan akan mengadakan pertemuan dengan pihak LG Group bagi membincangkan mengenai kerjasama antara dua syarikat itu dalam penghasilan kereta elektrik.
Menurut sumber, Naib Pengerusi Eksekutif Hyundai Motor Group, Chung Euisun dijadualkan bertemu dengan Pengerusi LG Group, Koo Gwang-mo di kilang bateri kereta LG Chem Ltd. di Ochang, 120km di selatan Seoul, Korea Selatan bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
LG Chem telah membekalkan bateri kereta lithium-ion kepada semua kenderaan elektrik Hyundai Motor, seperti Hyundai Kona dan Hyundai Ioniq. Syarikat tersebut juga telah ditetapkan sebagai pembekal bateri untuk kereta elektrik Hyundai generasi seterusnya, yang akan dilancarkan pada tahun 2022.
Kedua-dua syarikat ini juga bersetuju untuk meneroka teknologi canggih dalam bidang kereta elektrik dan bateri kereta untuk terus berkembang menjadi perniagaan yang berpotensi tinggi.
Langkah tersebut dilakukan berikutan Hyundai Motor Group yang kini sedang giat berusaha menghasilkan kereta elektrik secara besar-besaran berdasarkan platform EVnya yang disebut electric-global modular platform (E-GMP).
Platform baru ini akan dipasang pada kereta elektrik terbaru Hyundai Motor dengan nama projek NE dan kenderaan utiliti crossover baru Kia.
Bukan itu sahaja, Chung juga akan bertemu dengan Ketua Kumpulan SK Innovation Co., Chey Tae-won. SK Innovation Co. adalah pembekal bateri kereta kepada semua model elektrik KIA seperti Kia Soul dan Kia Niro.