Setelah larangan penggunaan motosikal dikuatkuasakan di jalan-jalan yang tertentu di Tyrol, bandar Vienna di Austria juga akan menguatkuasakan larangan tersebut.
Tidak seperti larangan penggunaan motosikal di Tyrol, yang hanya melibatkan motosikal dan bukan untuk kereta sport, larangan penggunaan motosikal di Vienna adalah larangan yang menyeluruh. Ianya akan melibatkan kenderaan bermotor termasuk motosikal biasa dan juga motosikal elektrik di pusat bandar.
Minggu lepas, Datuk Bandar Daerah, Markus Figl dan Naib Datuk Bandar, Birgit Hebein, telah memperkenalkan visi mereka iaitu untuk menjadikan Vienna bebas dari kenderaan bermotor namun mendapat bantahan dari pengguna motosikal.
Salah satu perkara utama yang menyebabkan bantahan tersebut adalah larangan yang menyeluruh walaupun penggunaan pada jalan yang kosong dan penggunaan motosikal elektrik yang tidak akan mencemarkan alam sekitar.
Penggunaan motosikal di Eropah sangat berbeza dengan penggunaan motosikal di United Kingdom, dimana ramai pengguna beralih ke skuter elektrik dan motosikal yang disertakan dengan enjin berkuasa bateri yang lebih besar.
Zon pengecualian yang eksklusif di Vienna
Pertama sekali, jalan lingkar yang mengelilingi bandar tidak termasuk dalam peraturan baru ini. Ini bermakna, kereta persendirian, van, dan motosikal masih boleh digunakan di laluan tersebut.
Selain itu, orang yang tinggal di zon pengecualian atau mereka yang mempunyai garaj peribadi di zon bebas kenderaan (dan mempunyai permit meletak kenderaan) juga akan dibenarkan.
Syarikat dan pekerja di dalam zon yang dibenarkan juga akan dibenarkan melakukan perjalanan bebas, termasuk wakil jualan dan pekerja yang bekerja di luar waktu pejabat.
Teksi komersial juga akan dibenarkan masuk ke pusat bandar Vienna, begitu juga dengan tetamu hotel, selagi mereka meletakkan kenderaan mereka di garaj tempat letak kenderaan yang telah ditetapkan di tempat mereka menginap.