Lego sebenarnya ada mendedahkan kit Lego Ducati Panigale V4 R, tetapi ada orang yang merasakan kit itu tidak cukup gempak. Tetapi untuk beli jentera sebenar pada RM300k terlalu mahal, maka terhasillah replika Ducati Panigale V4 R berskala 1:1 diperbuat dari Lego.
Dibina oleh Riccardo Zangelmi – salah seorang Lego Certified Professionals (LCP) – keseluruhan model ini mempunyai berat 180kg iaitu hampir sama dengan jentera sebenar (172kg), dan diperbuat dari 15,000 kepingan Lego Technic.
Tidak seperti pembina LCP lain yang menggunakan kepingan Lego biasa, Zangelmi menggunakan kepingan Lego Technic sepenuhnya.
Pembina lain biasanya memerlukan gam untuk mencantumkan bahagian-bahagian penting pada model, tetapi disebabkan Zangelmi menggunakan Lego Technic, tiada gam diperlukan. Dia boleh mencabut semula semua kepingan ini dan pasang semula jika dia mahu.
400 jam masa diambil untuk menyiapkan model ini, dan dilaporkan juga mereka telah memasang dan mencabut sebanyak lapan kali sebelum Panigale ini siap sepenuhnya.
Juga satu perkara menarik ialah Zangelmi dan pasukannya langsung tidak menggunakan sebarang CAD atau perisian model. Ini menunjukkan tahap kebolehan dan keyakinan yang agak luar biasa.
Replika Ducati Panigale V4 R bersaiz sebenar ini dipamerkan bersebelahan dengan motosikal sebenar di litar Modena.
Ia dilancarkan oleh pelumba Ducati MotoGP Andrea Dovizioso, CEO Ducati Claudio Domenciali dan pengurus besar Lego Italy Paolo Lazzarin.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar