Lampu ‘rear fog lamp’ dan mentol ‘ice blue’ akan dikenakan tindakan – Polis

4334

Akhirnya setelah bertahun-tahun kita menahan silau dari rear fog lamp (lampu kabus belakang) oleh makhluk-makhluk batak yang memasang sesuka hati, akhirnya polis trafik telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengenakan tindakan atas kelakuan ini.

Selain itu, penggunaan mentol ice blue (biru ais) yang menggantikan lampu merah belakang dan lampu brek akan turut dikenakan tindakan sama.



Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata penggunaan lampu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959). 

Menurutnya, kesalahan itu ditafsirkan sebagai keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau memungkinkan bahaya kepada orang dalam kenderaan atau di jalan raya.


 
Selain itu, beliau berkata kesalahan itu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan. 

Azisman berkata tindakan keras akan diambil jika didapati pemandu kenderaan masih ingkar dan memasang aksesori berkenaan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Ini kerana lampu rear fog lamp yang digunakan pada masa yang tidak betul akan menyebabkan silau yang berlebihan kepada pemandu-pemandu di belakang. Dari sudut sains, ia juga meningkatkan tekanan dan keletihan kepada mata, seterusnya mengganggu tumpuan pemanduan.

Seperti pada namanya, rear fog lamp boleh dihidupkan hanya semasa keadaan foggy atau berkabus, serta dalam cuaca buruk seperti hujan sangat lebat dan salji.

Untuk mentol ice blue, ia bukan sahaja mempunyai kecerahan melampau ‘suluh neraka’ yang mempunyai akibat sama dengan rear fog lamp, warna itu juga boleh mengelirukan pemandu lain di belakang. Mestilah ada sebab mengapa semua pengeluar seluruh dunia bersepakat menggunakan lampu belakang dan brek merah, bukan?

“Dari segi penguatkuasaan, kita bersedia dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dari segi penjualan, pemasangan dan kebenaran oleh pihak yang berwajib.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik kenderaan supaya tidak mengubah suai kenderaan mereka dengan memasang lampu berkenaan yang melanggar Vehicle Type Approval (VTA) yang diberikan kepada kenderaan tersebut,” katanya. 

Beliau menegaskan kenderaan berkenaan juga boleh disita di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengelak kesalahan tersebut berulang. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here