Enjin 2-lejang lebih laju dan berkuasa dari 4-lejang, betul ke?

15344

Ramai yang mendakwa enjin 2-lejang (2-stroke) lebih berkuasa dari enjin 4-lejang (4-stroke). Benarkah kenyataan ini?

Dan jika benar, bagaimana?

Kemudian, kenapa pengeluar tidak menggunakan enjin 2-lejang untuk semua kenderaan seperti supercar jika benar ia berkuasa?



Kita akan rungkaikan dalam artikel ini.

Pertama sekali, kita belek semula apa itu lejang atau stroke?

Kredit: Britannica

Kita harus melihat bagaimana enjin pembakaran dalaman (internal combustion) berfungsi.

Dalam sesebuah enjin, terdapat omboh (piston) yang bergerak ke atas dan ke bawah dalam ruang silinder untuk melengkapkan kitaran pembakaran.

Pembakaran disempurnakan dengan udara disedut ke dalam ruang silinder, dibakar, dan dilepaskan melalui ekzos.

Kitaran ini terdiri dari:

Kemasukan (Intake): Omboh bergerak ke bawah dan membawa masuk bahan api dan udara
Mampatan (Compression): Omboh naik semula dan injap kemasukan ditutup untuk memampatkan gas
Pembakaran (Combustion): Percikan dari palam pencucuh (spark plug) menghidupkan gas dan menolak omboh ke bawah
Ekzos (Exhaust): Omboh naik semula dan injap ekzos dibuka

Jadi, bagaimana perbezaan enjin 2-lejang dan 4-lejang?

Perbezaannya adalah dari segi berapa cepat kitaran pembakaran ini berlaku berdasarkan berapa kali omboh bergerak naik dan turun dalam satu kitaran.

2-Lejang

Untuk 2-lejang, keseluruhan kitaran pembakaran disempurnakan dengan sekali pergerakan turun naik (stroke) omboh.

Satu lejang mampatan, dan satu lagi pembakaran bahan api yang dimampat itu semasa omboh turun. Dan bila omboh naik semula, ekzos dilepaskan dan campuran bahan api yang baharu dimasukkan semula.

Palam pencucuh terpercik sekali sahaja untuk satu pusingan, dan kuasa dihasilkan untuk setiap 2 stroke omboh.

Enjin 2-lejang juga memerlukan minyak enjin dicampur sedikit dengan bahan api (petrol).

4-Lejang

Bagi 4-lejang pula, omboh bergerak turun-naik sebanyak 2 kali untuk setiap kitaran. Kemasukan, mampatan, pembakaran, dan ekzos semuanya untuk satu pergerakan omboh.

Palam pencucuh hanya dinyalakan sekali sahaja untuk setiap kitaran 2 pusingan ini. Jadi, kuasa hanya dihasilkan sekali untuk setiap 4 stroke omboh.

Enjin ini tidak memerlukan campuran bahan api dengan minyak enjin, dan mempunyai tangki simpanan berasingan untuk minyak enjin.

Jadi, mana lebih baik dan berkuasa?

Sebenarnya tiada yang lebih baik, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Semuanya bergantung kepada keperluan dan kegunaan enjin itu.

Enjin nitro kereta kawalan jauh

Adakah ianya enjin berkapasiti kecil seperti motosikal kapcai, mesin pemotong rumput, go-kart, kenderaan kawalan jauh, atau enjin berkapasiti lebih besar seperti kereta, van, dan SUV.

Secara teori, enjin 2-lejang mampu menghasilkan lebih kuasa untuk kapasiti (cc) yang sama dengan 4-lejang. Ini kerana ia menghasilkan kuasa setiap pusingan (2 stroke) berbanding enjin 4-lejang yang memerlukan 2 pusingan (4-stroke) untuk menghasilkan kuasa.

Ini menjadikan enjin 2-lejang mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat yang lebih tinggi berbanding 4-lejang.

Yamaha 125Z

Enjin 2-lejang juga lebih ringkas dan mempunyai kos lebih rendah untuk dihasilkan berbanding 4-lejang. Tetapi, enjin 4-lejang tahan lebih lama kerana mempunyai sistem pelinciran khas. Palam pencucuh dalam enjin 2-lejang pula tahan lebih lama.

Sementara itu, enjin 4-lejang lebih cekap penggunaan bahan apinya dan kurang mencemarkan alam sekitar berbanding 2-lejang.

Jadi, secara teori, benar enjin 2-lejang lebih berkuasa dari enjin 4-lejang yang sama saiz. Tetapi apa pun, ia tetap berbalik kepada untuk apa enjin itu digunakan.

Enjin 2-lejang lebih sesuai untuk kenderaan kecil seperti kapcai dan go-kart, manakala enjin 4-lejang lebih sesuai untuk kenderaan lebih besar. Akhir sekali, enjin 4-lejang juga lebih sesuai diletakkan pengecas turbo untuk lebih kuasa.

Sumber: Berrymanproducts, Autoevolution

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here