Berdasarkan draf pindaan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat, denda maksimum sebanyak RM100,000 telah dicadangkan bagi kes pemandu mabuk.
Menurut cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, kadar denda yang ditetapkan untuk kesalahan pertama ialah RM100,000 dan RM150,000 bagi kesalahan seterusnya.
Turut dicadangkan adalah tempoh penjara maksimum 15 tahun bagi kesalahan pertama, 20 tahun bagi kesalahan seterusnya dan menaikkan tempoh penggantungan lesen daripada 10 tahun kepada 20 tahun.
Tahap baru hukuman bagi kesalahan memandu melibatkan alkohol, dadah, dan melulu itu terkandung dalam draf RUU yang akan dibawa ke Kabinet pada 17 Julai dan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat sekarang.
Wee Ka Siong berkata, Kabinet bersetuju secara dasarnya untuk meminda Seksyen 41 hingga Seksyen 45 dalam Akta Pengangkutan Jalan bagi memperkenalkan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk, bawah pengaruh dadah, atau melulu.
“Siapa yang lari dari ujian alkohol dilakukan pihak berkuasa juga akan dianggap kesalahan,” katanya.
Isu lain seperti pemandu perkhidmatan e-panggilan enggan membawa pulang penumpang mabuk akan diperjelaskan kemudian.
Selain itu, bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol tetapi berhenti di bahu jalan apabila melihat polis melakukan sekatan jalan turut akan diambil tindakan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar