Lamborghini Sián FKP 37 dan Sián Roadster bukan sahaja merupakan jentera pertama dari Lamborghini yang menggunakan super-kapasitor yang inovatif, malah turut mempunyai sistem penyejukan yang menarik.
Diberi nama ‘Smart Material System’, sistem ini direka untuk membantu mengeluarkan haba yang dihasilkan oleh enjin V12 6.5-liter. Apa yang menarik, sistem ini tidak dikendalikan secara elektronik, malah ia digerakkan sendiri sepenuhnya.
Sistem ini terdiri daripada dua spring kecil yang diperbuat dari aloi memori yang telah dibentuk. Spring ini mempunyai memori suhu (thermal memory), yang bermaksud struktur kimianya akan berubah berdasarkan suhu.
Apabila ia menerima suhu tertentu, spring itu akan membuka empat penutup kecil yang terdapat pada bahagian penutup enjin.
“Ini akan membantu mengurangkan berat jentera kerana ia tidak memerlukan penggerak hidraulik, elektrik atau mekanikal. Sistem ini sepenuhnya autonomi tanpa penggunaan elektronik,” kata ketua bahagian sistem aerodinamik Sián Coupe and Roadster, Ugo Riccio.
Ketua projek Lamborghini, Paolo Mazzelli berkata syarikat tersebut merancang untuk menggunakan aloi memori yang telah dibentuk sebagai bahan komponen kenderaan lain pada masa yang akan datang.
Kedua-dua FKP 37 Sián Coupe dan Sián Roadster dikuasakan oleh enjin V12 6.5-liter naturally-aspirated dan disertakan dengan motor elektrik 34hp. Powertrain kedua-dua jentera ini juga dilengkapi dengan sistem hibrid ringan 48volt.
Secara keseluruhan, kedua-dua jentera ini mampu menghasilkan sehingga 808hp dan memecut dari 0-100km/j dalam masa kurang dari 3.0 saat (2.8 saat untuk Coupe, 2.9 saat untuk Roadster). Kelajuan tertinggi pula mampu dicapai melebihi 350km/j.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar