Volkswagen pada hari Isnin lepas telah mengumumkan mereka akan meyediakan perkhidmatan pengecasan baru di Eropah, dengan menyediakan lebih daripada 150,000 stesen pengecasan kereta elektrik menjelang pertengahan bulan Ogos.
“Oleh kerana mobiliti kereta elektrik semakin meningkat di jalan raya, stesen pengecasan awam akan menjadi kemudahan yang sangat penting,” kata Richard van Tatenhove, ketua perkhidmatan pengecasan digital di Volkswagen.
Perkhidmatan pengecasan ini tidak akan dikenakan bayaran bulanan dan dapat digunakan melalui satu kad. Menurut Volkswagen, pengguna juga akan memperoleh maklumat tambahan mengenai proses pengisian dengan menggunakan aplikasi khas yang telah dihasilkan.
Aplikasi ini akan memberikan maklumat mengenai kadar harga setiap pengecasan dan lokasi sesebuah stesen pengisian. Selain itu, aplikasi ini juga akan memberikan maklumat tentang stesen pengecasan yang beroperasi hanya dengan kuasa hijau (green power).
Volkswagen mensasarkan untuk menjadikan kereta elektrik “semenarik mungkin” dan mengumumkan mereka akan memperkenalkan 75 model baru bagi kereta elektrik dalam masa sepuluh tahun akan datang.
Menurut Ferdinand Dudenhoeffer, pengarah Pusat Penyelidikan Automotif (CAR), Volkswagen difahamkan akan memberi fokus kepada kenderaan elektrik secara lebih konsisten daripada syarikat pengeluar yang lain.
Dia juga berkata walaupun Volkswagen mengambil risiko yang tinggi untuk menceburi pasaran kereta elektrik, itu adalah keputusan yang tepat.
“Sekiranya kita ingin mengubah dunia, kita memerlukan kereta elektrik, bukan seribu kompromi,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar