BMW Malaysia telah melancarkan versi prestasi untuk 1-Series, iaitu M135i xDrive, yang akan menjadi pesaing terbaharu kepada model-model seperti Golf R, Civic Type-R dan Megane RS 280 Cup.
Ia ditawarkan pada harga RM355,646.25, dan hadir dengan jaminan 5-tahun, program servis percuma, bantuan tepi jalan, BMW Group Loyalty Mobile App dan BMW Service Online.
Jentera ini dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder TwinPower Turbo yang menjana 306hp dan 450Nm tork. Enjin ini merupakan unit 2.0-liter paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW Group, dan dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Jika anda seperti familiar dengan enjin dan outputnya, ini kerana enjin ini memang yang serupa terdapat pada MINI JCW Countryman 306HP dan Clubman 306HP yang kami pandu tahun lepas.
Kuasa pula disalurkan ke semua roda melalui sistem xDrive. Dan ini membolehkan ia memecut dari pegun ke 100km/j dalam 4.8 saat, dan mencapai kelajuan maksima 250km/j.
Untuk mengendalikan kuasa dan kelajuan di semua keadaan pemanduan, M135i ini dilengkapi suspensi M Sport, brek M Sport dan teknologi ARB yang mengawal tahap gelinciran tayar.
Selain itu, ia juga mendapat limited-slip differential Torsen yang diintegrasikan dengan kotak gear. Ia mengawal penghantaran kuasa di roda depan dalam keadaan lurus dan semasa membelok, serta menampilkan fungsi Launch Control.
Untuk kelengkapan luaran, BMW M135i xDrive dilengkapi gril berwarna Cerium Grey, dengan rekaan baharu yang menggantikan bar menegak. Gril ini juga kini bergabung di tengah, tidak seperti sebelum ini yang terpisah.
Warna Cerium Grey turut boleh didapati pada sirip kemasukan udara, cermin sisi dan ekzos 100mm.
Lampu adalah unit Adaptive LED dengan bantuan lampu tinggi automatik, manakala lampu belakang adalah LED berbentuk L yang memberikan gaya lebar. Gaya luar disempurnakan oleh rim aloi V-spoke 557 M Bicolour yang sporti, dan spoiler M Sport.
Di bahagian dalam pula, M135i hadir dengan kemasan kulit Leather Dakota dengan kemasan Illuminated Boson. Aksesori M Sport di kabin pula terdiri dari tempat duduk sports, tali pinggang keledar, dan roda stereng.
Di tengah papan pemukanya ialah unit infotainmen BMW Live Cockpit Professional dengan BMW Operating System 7.0 yang dikawal oleh skrin sesentuh 10.25-inci. Sistem bunyi pula ialah Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.
Teknologi ketersambungan merangkumi BMW Digital Key, Apple CarPlay, Remote Software Upgrade dan BMW Intelligent Personal Assistant.
M135i xDrive ini turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan seperti BMW Personal CoPilot yang menampilkan Driving Assistant, Parking Assistant, dan Reversing Assistant.
Di bawah Driving Assistant adalah fungsi bantuan aktif seperti Lane Change Warning, Crossing Traffic Warning, Rear Collision Warning, Speed Limit Assist, Lane Departure Warning dan Frontal Collision Warning.
BMW M135i boleh didapati dengan warna Alpine White, Black Sapphire, Misano Blue, Mineral Grey dan Melbourne Red. Warna ini pula boleh digandingkan dengan kemasan kulit Leather Dakota hitam atau Magma Red Leather Dakota.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar