Porsche sebelum ini memperkenalkan kereta elektrik mereka iaitu Taycan di pasaran global yang direka untuk bersaing dengan Tesla.
Namun kali ini, syarikat pengeluar dari Jerman itu difahamkan akan memperkenalkan varian lain bagi Taycan iaitu Porsche Taycan Cross Turismo.
Menurut Autocar, kereta tersebut kini sedang diuji di litar Nurburgring, Jerman. Walaupun kelihatan sama seperti model Taycan biasa, kereta ini disertakan dengan ciri dan penampilan yang menarik, sama seperti Porsche Panamera serta Porsche Panamera Sport Turismo.
Porsche Taycan Cross Turismo disertakan dengan bumbung yang lebih panjang, ruangan belakang yang lebih luas dan rel atap yang sporti. Model terbaru ini juga dihasilkan berdasarkan konsep Mission E Cross Turismo yang diperkenalkan di Geneva Motor Show 2018.
Belum ada maklumat yang sahih tentang enjin Porsche Panamera Sport Turismo. Namun banyak khabar angin mengatakan kereta ini akan disediakan dengan tiga pilihan output kuasa yang akan menghasilkan 523bhp (4S), 671bhp (Turbo) dan 751bhp (Turbo S).
Boleh dikatakan spesifikasi penuh kereta ini belum dikenal pasti. Tarikh pelancarannya juga masih belum diumumkan oleh Porsche.
Dalam industri kereta elektrik, saingan utama bagi Porsche iaitu Tesla Model S telah disertakan dengan sistem pengecasan 800V. Sistem ini dikatakn membolehkan sesebuah kereta elektrik dicas dalam masa kurang dari 15 minit.
Seperti model Taycan biasa, kereta ini juga akan dihasilkan dalam barisan pengeluaran khas di ibu pejabat Porsche yang terletak di Zuffenhausen, Stuttgart, Jerman.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar