Gordon Murray T.50 ini supercar dengan enjin NA, transmisi manual, tempat duduk tengah dan kipas di belakang!

2268

Jentera terbaharu Gordon Murray T.50 ini merupakan successor atau kesinambungan kepada McLaren F1 1992 yang kini menjadi lagenda.

Murray mengatakan T.50 sebagai “supercar paling asli, paling ringan dan paling memfokus kepada pemandu yang pernah dihasilkan”. Ini kerana ianya sangat ringan, berenjin tengah dan mempunyai tiga tempat duduk gentian karbon.



Supercar ini dipanggil T.50 yang merujuk kepada rekaan ke-50 Murray dalam keriernya sepanjang lebih 50 tahun. Pengeluaran akan bermula hujung tahun depan dan penyerahan bermula awal 2022.

T.50 menampilkan teknologi ground-effect “kereta kipas” yang pernha digunakan pada jentera F1 Brabham BT46B pada 1978.

Brabham BT46 pada Formula 1 1978. Imej: Wikipedia

Dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V12 naturally-aspirated dari Cosworth dengan redline 12,100rpm, T.50 akan dibina sepenuhnya oleh Gordon Murray Automotive (GMA).

Hanya 100 unit T.50 akan dikeluarkan, dan setiap satu berharga £2.36 juta (RM12.99 juta) tanpa cukai. Mahal? Kebanyakannya telah ditempah oleh pengumpul dan peminat supercar seluruh dunia – kebanyakannya dari AS dan Jepun – dan mereka telah membayar pendahuluan £600,000 (RM3.3 juta).

Selepas kesemua 100 unit diserahkan kepada pemilik masing-masing, sebanyak 25 unit versi hardcore dan kegunaan litar akan dikeluarkan.

Sama seperti McLaren F1, T.50 akan menempatkan pemandunya di tengah-tengah kabin, seperti kereta formula atau jet pejuang.

Jarak kesemua tayarnya serupa dengan MINI Countryman, tetapi ia lebih kecil dari Porsche 911 dan lebih ringan dari Alpine 110. Ia juga tidak menggunakan sebarang cermin sisi, malah menggunakan kamera khas untuk menggantikannya.

T.50 direka sepenuhnya oleh pasukan GMA, dan Murray sendiri mengetuai pasukan rekabentuk ini. Ia mengambil banyak inspirasi dari McLaren F1 seperti saiz kompak, panel depan seperti anak panah dan skop udara di atas bumbung. Ia juga mendapat pintu dihedral yang dibuka ke atas.

Sementara depan T.50 nampak kemas dan ringkas, bahagian belakangnya “berubah 180-darjah”. Di sini, terdapat sepasang ekzos besar, jaring untuk penyejukan enjin, diffuser yang besar dan kipas berukuran 400mm. Ya, ada kipas!

Kipas ini dijana oleh sistem elektrik 48V dan berfungsi menghasilkan downforce dengan menyedut udara dari bawah kereta.

Kipas, diffuser dan beberapa aerofoil di seluruh badan T.50 ini akan menjana lebih banyak downforce dari mana-mana sistem aerodinamik supercar lain dan seterusnya memberikannya cengkaman tinggi di selekoh.

Terdapat enam mod aerodinamik. Auto dan Braking berfungsi secara automatik bergantung kepada kelajuan dan input pemandu.

High Downforce, Vmax, Streamline dan Test boleh dipilih oleh pemandu sendiri. Mod Vmax akan memaksimakan kuasa enjin dan memberikan kuasa tambahan selama 3 minit, sesuai untuk ujian kelajuan maksima.

Ruang kabin T.50 dikatakan sangat luas, dan akses kepada tempat duduk tengah kini lebih mudah kerana lantainya rata. Segala suis dan panel instrumen disusun menyerupai jet pejuang, ringkas tetapi tepat.

T.50 mempunyai berat serendah 986kg (lebih kurang berat Myvi je!). Casis tab gentian karbon dengan semua panel hanya seberat 150kg. Dan setiap komponen, skru, nut, bolt dan penyambung semuanya “ditapis” untuk penjimatan berat.

Transmisi manual 6-kelajuan direka dengan teknik thin-wall casting, ianya 10kg lebih ringan dari transmisi yang digunakan oleh F1 yang memang sudah ringan.

Enjin V12 Cosworth itu pula 60kg lebih ringan dari enjin BMW dalam McLaren F1, dan tempat duduk gentian karbon mmepunyai berat hanya 7kg.

Kenapa begitu berkira? Murray berkata dengan kuasa 650hp dan berat yang rendah itu, T.50 akan mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat menyamai supercar dengan lebih 950hp.

Walaupun dengan prestasi dan angka sebegitu, Murray berkata dia tidak berminat langsung untuk cuba memecahkan sebarang rekod catatan masa di Nurburgring. Katanya, “Fokus kami hanyalah untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik dari mana-mana supercar.”

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here