Walaupun ini artikel galeri, kami terlebih dahulu meminta maaf kerana hanya bahagian luaran dapat kami paparkan buat masa ini. Bahagian dalaman dan enjin pada unit Honda City RS ini tidak dibenarkan untuk kita lihat.
Apa pun, inilah dia Honda City RS seperti yang anda lihat pada video viral beberapa minggu lepas. Tempahan telahpun dibuka seperti diumumkan Honda Malaysia. Apa yang kita ketahui sekarang, Honda City serba baharu ini akan ditawarkan dengan empat varian, termasuk RS ini.
Menarik juga ialah Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melancarkan varian RS (Road Sailing) ini walaupun kita bukan negara pertama yang mendapat City baharu.
Dari segi luaran, dapat kita tengok beberapa kelengkapan utama seperti:
- Lampu depan LED dengan DRL LED
- Bar depan hitam pada gril seperti model-model terkini Honda
- Lampu kabus LED dengan rekaan perumah bersirip
- Cermin sisi hitam (RS sahaja)
- Honda LaneWatch (V dan RS)
- Rim 16-inci dwi-tona baharu
- Spoiler hitam
- Lampu belakang LED
- Kemasan diffuser hitam
- Antena shark fin
Dari segi dalaman pula, Honda City akan mendapat brek parkir elektronik (V dan RS) menjadikannya model pertama dalam segmen ini dilengkapi ciri itu.
Honda City RS ini dikuasakan oleh powertrain i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive) yang memberikan mod EV, Hybrid dan Engine Drive. Powertrain ini tidak mempunyai transmisi dan mempunyai tork setinggi 253Nm, iaitu lebih berkuasa dari sesetengah model segmen-D!
Unit i-MMD ini juga dikatakan boleh memberi penjimatan sehingga 4.8 liter sahaja untuk setiap 100km.
Juga menarik ialah kehadiran Honda Sensing yang sebelum ini hanya terdapat pada model-model seperti Civic, Accord dan CR-V.
Perkara ini tidak diumumkan oleh pihak Honda Malaysia, tetapi jelas kami dapat lihat kamera monokular khas di dalam cermin depan City ini. Kami rasakan Honda Sensing ini tidak ditawarkan sebagai standard, mungkin hanya untuk V dan RS.
Walaupun tempahan telah dibuka, harga Honda City 2020 belum didedahkan. Honda Malaysia turut menawarkan baucar servis RM1,000 untuk tempahan terawal model segmen-B ini.
Apa pendapat anda setakat ini mengenai Honda City serba baharu?
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar