MINI John Cooper Works GP model paling ganas dengan 306hp dan 450Nm

1980

Mungkin frasa “kecil-kecil cili api” sudah terlalu kerap digunakan, tetapi inilah ayat paling sesuai untuk menerangkan MINI John Cooper Works (JCW) GP.

Baru sahaja tiba di Malaysia, MINI JCW GP ditawarkan pada harga RM377,470.90, terhad kepada 3,000 unit seluruh dunia (hanya 10 unit untuk Malaysia), dan ia dilancarkan serentak dengan MINI Electric.



Mahal? JCW GP ini mempunyai catatan masa di Nurburgring bawah 8 minit, dan ini sangat mengagumkan untuk model pacuan roda-depan. Malah, 7:56.69 ini juga lebih pantas dari sesetengah model sports pacuan roda-belakang!

Prestasi tanpa kompromi

Rahsia kepada prestasi tanpa kompromi ini adalah enjin 2.0-liter TwinPower Turbo dengan 306hp dan 450Nm tork, yang dipadankan dengan transmisi Steptronic 8-kelajuan. Ini memberikannya pecutan ke 100km/j dalam 5.2 saat sahaja dan kelajuan maksima 265km/j.

Sudah tentu enjin 2.0-liter biasa tidak begitu mudah menghasilkan output sebanyak ini. Jadi unit pada JCW GP mempunyai komponen dalam lebih kukuh, pengecas turbo baharu lebi besar, sistem suntikan terkini dengan tekanan lebih tinggi, dan sistem ekzos yang dioptimakan.

Dibangunkan di Nurburgring, MINI JCW GP menerima talaan suspensi khas yang lebih tendah 10mm berbanding MINI JCW biasa.

Geometri suspensi juga dilaras untuk pengendalian terbaik di selekoh, selain spring dan camber yang ditala khas.

Gaya inspirasi litar

Jika anda tak dapat bayangkan kegilaan dan tahap keganasan prestasi JCW GP ini, lihat sahaja rupanya. Warna Racing Grey, kemasan Chilli Red merata badan, panel gentian karbon, dan spoiler GP besar gedabak.

Jentera ini datang sebagai standard dengan rim ringan 18-inci, serta kit aerodinamik seperti panel pada fender depan dan belakang yang diperbuat dari bahan komposit plastik gentian karbon. Nombor siri kenderaan juga dicetak pada panel di fender depan.

Di dalam pula, hot hatch ini dilengkapi tempat duduk John Cooper Works, elemen-elemen merah, lencana GP di perehat kepala, dan roda stereng kulit JCW dengan penanda pada posisi jam 12. Terdapat juga nombor siri dicetak secara 3D pada papan pemuka.

Sistem hiburan dan paparan canggih

Sama seperti MINI Electric, JCW GP turut menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya di depan roda stereng.

Sementara itu, di konsol tengah terletak skrin sesentuh 8.8-inci yang mempunyai MINI Visual Boost, sistem navigasi, Apple CarPlay dan sistem-sistem lain seperti MINI Connected, Intelligent Emergency Call dan Remote Services.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here