Sebuah pusat pengedar motosikal di Indonesia mengambil masa dua hingga tiga jam untuk mengira duit syiling yang diserahkan seorang wanita untuk membeli motosikal Honda Scoopy yang berharga Rp20.6 juta (RM5,791).
Berlaku di Demak, Jawa, lima hingga enam pekerja dan dua hingga tiga jam diperlukan untuk mengira duit sduit syiling milik seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Barokah.
Siti Barokah difahamkan menabung selama tiga tahun setengah untuk mengumpulkan duit dengan jumlah tersebut.
Salah seorang pekerja pusat pengedar Honda Cendana Demak, Bayu bagaimanapun berkata, ia kali kedua berlaku di mana kali pertama ia berlaku, ada pembeli datang membawa duit syiling berjumlah Rp8 juta (RM2,247) untuk membeli Honda BeAT.
Menurut Bayu, setelah kesemua duit syiling tersebut dikira, ianya berjumlah Rp14.25 juta (RM4,024) dan masih tidak mencukupi untuk mendapatkan sebuah Honda Scoopy.
Namun, hasil kesepakatan, baki yang masih belum cukup itu akan dibayar oleh Siti Barokah setelah motosikal tersebut dihantar ke rumahnya.
“Pusat pengedar kami mengutamakan perkhidmatan tanpa mengira siapapun pelanggan. Tidak kira wang syiling atau wang kertas, yang penting jumlah wang tersebut mencukupi mengikut kesepakatan yang dijalankan,” kata Bayu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar