Sebahagian besar motosikal pada hari ini menggunakan tayar tanpa tiub (tubeless) yang memudahkan proses tampal lubang ketika berlaku kebocoran. Namun, tampal tayar yang berlubang juga ada kosnya yang tersendiri.
Di India, seorang lelaki terpaksa menghabiskan sebanyak RS6,500 (RM367) untuk menampal lebih 60 lubang pada tayar motosikalnya.
Dikenali sebagai Chirag Nimbre, dia difahamkan dalam perjalanan ke Pune untuk melawat keluarga dan rakannya. Setelah separuh perjalanannya dari Thane, dia mendapati tayar motosikalnya bocor dan banyak lubang. Ianya disebabkan oleh permukaan jalan yang teruk.
Menyedari dia perlu menyelesaikan ‘masalah’ tersebut secepat mungkin, Chirag membawa motosikalnya ke sebuah bengkel berdekatan. Setelah tayar diteliti, perkara pertama yang disarankan oleh mekanik kepadanya ialah menukar tayar baru yang berharga sekitar RS8,500 (RM480), kerana terlalu banyak lubang pada tayar motosikal tersebut.
Namun, Chirag membuat keputusan untuk meminta mekanik menampal tayar motosikalnya kerana menurutnya ia lebih menjimatkan. Setelah proses menampal tayar selesai, mekanik memberitahu ianya menelan kos sehingga RS9,500 (RM537).
Menyedari kos tampal tayar sangat mahal, Chirag kemudian berusaha untuk berunding. Dia malah meminta mekanik itu untuk mengira kos perkhidmatannya sahaja, sementara bahan yang digunakan untuk proses penampalan tersebut akan diganti.
Selepas rundingan yang agak sukar, Chirag tetap perlu membayar walaupun telah dikurangkan kepada RS6,500 (RM367).
Disebabkan tergesa-gesa menuju ke destinasi, Chirag juga tidak melaporkan kejadian tersebut kepada polis. Setelah mendapat laporan, Sub-Inspektor Polis Talegaon berkata:
“Kejadian itu tidak diketahui oleh kami. Namun, kami akan melakukan siasatan bersama polis trafik ke bengkel tersebut dan meminta mekanik menetapkan harga yang munasabah. Orang ramai perlu membuat laporan jika berlaku hal seperti ini.”
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar