Honda Malaysia Sdn. Bhd (HMSB) telah mempamerkan varian terkini SUV Honda di Pameran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS).
Dibina dengan reka bentuk signatur daripada Honda, HR-V RS baharu tampak lebih ‘sporty’ dan menarik.
Reka Bentuk Sporty
Ia dibina dengan konsep reka bentuk ‘Solid Wing Face’ dengan lampu utama LED baharu, lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu kabus LED dan kombinasi lampu belakang LED.
Jentera ini juga hadir dengan rim-aloi dua tona bersaiz 18-inci, rekaan gril hadapan yang ‘sporty’ serta bampar hadapan dan belakang baharu yang lebih menonjolkan lagi penampilan baharu HR-V ini.
Selain itu HR-V juga hadir dengan perincian kemasan baharu seperti kemasan hendal pintu krom gelap, kemasan plat krom gelap dan sil sisi berwarna hitam yang ‘sporty’.
Ia juga hadir dengan kemasan pada perumah lampu kabus yang memberi nafas baru kepada varian RS.
Prestasi lebih baik
HR-V RS ini dikuasakan dengan enjin 1.8L SOHC i-VTEC yang menjadi tambahan kepada penampilan dan ciri yang dipertingkatkan.
Enjin itu dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) daripada Earth Dreams Technology Honda. Ia menawarkan prestasi dan penjimatan bahan api yang seimbang.
Jentera ini juga dipertingkatkan dengan sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) untuk pemanduan yang lebih ‘sporty’.
Dua manfaat yang akan diperoleh daripada sistem stereng baharu ini adalah keselesaan dan kemudahan untuk penumpang serta memberi keseronokan memandu (Joy of Driving) kepada pemandu.
Pakej lengkap varian RS dipertingkatkan lagi dengan Honda LaneWatch. Ia merupakan satu sistem kamera yang dipasang pada cermin sisi penumpang.
Pandangan laluan kiri dan titik buta akan dipaparkan pada sistem paparan di dalam kereta, memberikan sudut pandang yang lebih baik.
Ciri Keselamatan
Bagi ciri keselamatannya pula jentera ini hadir dengan enam beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (Emergency Stop Signal), Bantuan Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability Assist) dan Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist).
Varian HR-V ini juga dilengkapi dengan Kamera Undur Pelbagai Sudut (Multi-Angle Rear-View Camera) yang dapat membantu berikan pemanduan yang lebih baik.