Dalam kita menghadapi penularan pandemik Covid-19 ketika ini, rider penghantar makanan juga merupakan antara petugas barisan hadapan.
Selain pegawai kesihatan dan pasukan keselamatan, mereka juga berkemungkinan besar terdedah kepada risiko semata-mata untuk memenuhi selera pelanggan.
Dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga mencatatkan tiga angka sejak kebelakangan ini, jelas menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rider penghantar makanan yang sentiasa berurusan dengan orang ramai saban hari.
Sehubungan dengan itu, seorang penghantar makanan meluahkan kekecewaannya terhadap sikap segelintir pelanggan yang tinggal di rumah bertingkat seperti pangsapuri dan kondominium.
Menerusi siri luahan di laman Twitter, pemuda berkenaan menjelaskan antara mereka bersikap malas untuk turun ke tingkat bawah bagi mendapatkan pesanan mereka.
Sebagai penghantar makanan, katanya, banyak lokasi yang dikunjungi mereka tanpa menyedari keberadaan virus meskipun menjaga kebersihan.
“Kami naik lif, tangga… terpegang. Anda terjangkit. Orang lain terjangkit. Yang salahnya kami. Padahal korang yang selfish nak rider hantar sampai depan muka.
“Tolonglah faham. Dan anda pun tak tau apa yang dah melekat dekat badan anda. Bila keluar berjumpa orang sana sini. Tolong fikirkan keselamatan orang lain juga, ” ujarnya.
Menurut pemuda itu, keluhannya itu bertujuan untuk menjaga keselamatan pelanggan di samping mengelakkan kluster yang melibatkan penghantar makanan.
Sepanjang bertugas sebagai penghantar makanan, dia tidak pernah merungut untuk ke tingkat atas di kediaman bertingkat demi menghantar pesanan kepada pelanggan.
Baginya, ia adalah tanggungjawab mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik selain mencari rezeki untuk menyara kehidupan sekeluarga.
“Kalau yang mengandung ke ada anak kecil itu lainlah ceritanya. Kami pun ada akal boleh berfikir atas dasar timbang rasa.
“Terus terang aku cakap. Bagi aku dan beberapa rider lain, caj ekstra tu tak penting dah kalau nak kami naik. Cuma kesihatan, keselamatan yang penting sekarang ini dengan kes makin hari makin naik.
“Misal kata yang sakit kronik. Tak mampu nak bergerak sangat. Kami cuba timbang rasa. Yang sihat-sihat ni. Bukan apa, cuma dalam pandemik ni saja. Lepas ni dah okay, tak kisah dah,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar