Beberapa syarikat pengeluar kenderaan kini sedang giat mempelbagaikan jualan mereka dengan memperkenalkan pelbagai produk seperti pakaian dan sebagainya.
Hyundai tampil dengan sedikit kelainan apabila mereka memperkenalkan projek Re:Style 2020, dimana produk yang dijual oleh mereka diperbuat daripada komponen kereta terbuang.
Pada tahun ini, Hyundai bekerjasama dengan beberapa jenama fesyen yang berbeza termasuk Alighieri, E.L.V. DENIM, Public School, pushBUTTON, Richard Quinn dan Rosie Assoulin untuk menghasilkan produk ‘kitar semula’ tersebut.
Menurut Hyundai, jenama-jenama tersebut dipilih kerana mereka berkongsi “visi syarikat untuk mencari cara yang lebih sesuai untuk membuat produk yang kita gemari.”
Hasil dari kerjasama tersebut, Alighieri menghasilkan rantai, choker dan gelang yang diperbuat dari tali pinggang keledar, cermin dan span.
Selain itu, E.L.V. DENIM menghasilkan pakaian jenis jumpsuit, yang menggabungkan rekaan dari kemasan kulit daripada komponen terbuang kereta.
Public School, pushBUTTON pula menghasilkan vest, sementara Richard Quinn menghasilkan pakaian dalam jenis corset yang dihasilkan menggunakan kain beg udara.
Jenama fesyen yang terakhir iaitu Rosie Assoulin menghasilkan beg tote yang dihasilkan dari tali pinggang keledar, fabrik karpet dan span.
Kesemua produk yang dihasilkan oleh komponen kereta ini akan mula dijual pada 13 Oktober di Selfridges London dan di laman web.
Walaupun produk itu tidak akan menarik semua orang, Hyundai berkata ianya dibuat untuk mengelakkan bahan seperti beg udara, kemasan kulit dan cermin terbiar begitu sahaja jika sesebuah kenderaan dilupuskan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar