Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. hari ini memperkenalkan harga Pakej Aksesori Pilihan yang membolehkan pelanggan mengubah suai Nissan Almera 2020 serba baharu mereka.
Pakej Aksesori Pilihan itu direka khas untuk pelanggan yang mahu memberikan sedikit identiti dan nilai eksklusif kepada Almera mereka. Setiap aksesori hadir dengan jaminan selama tiga tahun dan boleh dibiaya ketika membuat pembelian.
Terdapat 4 pakej aksesori seperti berikut:
- Pakej Interior Styling (RM400) – Lampu kabin, trunk tray, kick plates anti-calar dengan logo Almera.
- Pakej Exterior Styling (RM950) – Visor pintu, pelindung pemegang pintu dengan kemasan carbon-fibre, spoiler belakang hitam berkilat (untuk varian VL dan VLP).
- Pakej Protection (RM1,950) – Filem tinted Solar Gard Armorcoat, perakam video (dashcam) dua-saluran.
- Pakej Protection Tambahan (RM2,750) – Filem tinted V-Kool Elite yang mampu menghalang sehingga 94 peratus haba matahari.
Semua aksesori hadir dengan jaminan selama 3 tahun atau perbatuan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu.
Nissan Almera 2020 ditawarkan dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT. Ia belum dilancarkan secara rasmi dan harga sebenar belum didedahkan.
Walaubagaimanapun, ETCM telah membuka tempahan untuk sedan segmen-B ini. Harga anggaran adalah RM8X,XXX untuk VL, RM8X,XXX untuk VLP dan RM9X,XXX untuk VLT.
Bergantung kepada varian, Nissan Almera dilengkapi rekaan gril V Motion, lampu depan halogen atau LED sepenuhnya, lampu belakang LED dengan lampu kabus, panel instrumen Gliding Wing, stereng flat-bottomed, papan pemuka dibaluti kulit, paparan instrumen 7-inci, dan paparan infotainmen di tengah sebesar 8-inci.
Nissan Almera 2020 hadir dengan enjin 1.0-liter turbo 3-silinder baharu. Unit ini menghasilkan 100hp pada 5,000rpm dan 152Nm tork pada 2,400-4,000rpm. Kuasa ini adalah bersamaan dengan enjin 1.3-liter naturally-aspirated.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT Xtronic generasi terbaharu dengan D-Step Logic System dan mod Sport.
Almera secara standard dengan Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Forward Emergency Braking, Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Anti-lock Braking System, Brake Assist, Electronic Brake Force Distribution, dan Hill-Start Assist.
Walaubagaimanapun, enam beg udara hanya untuk VLP dan VLT, manakala varian VL hanya dua beg udara.
Ciri keselamatan tambahan ditawarkan khas untuk varian VLT yang merangkumi Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent Around View Monitor.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.almeraturbo.com.my atau hubungi hotline Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar