Pandemik Covid-19 yang kini sedang menular ke seluruh dunia sudah tentu banyak memberi kesan, lebih-lebih lagi kepada sektor ekonomi sehingga ada pekerja yang terpaksa diberhentikan.
Sepasang suami isteri di Kampar, Johor juga turut terkesan dengan situasi ini, apabila mereka terpaksa tinggal di dalam kereta kerana tidak mampu membayar sewa rumah selepas hilang punca pendapatan.
Dikenali sebagai J Rajakumari dan suaminya P Sivagamyselvan, kedua-dua individu yang berusia 45 tahun ini sebelum ini difahamkan bekerja sebagai pencuci kereta di Johor Bahru selama lapan tahun.
Mereka berdua terpaksa pulang ke kampung halaman sejak Julai lalu berikutan kehilangan sumber pendapatan.
Hasrat mereka untuk tinggal di rumah mendiang bapa Rajakumar tidak kesampaian kerana keadaan rumah tersebut yang sudah rosak teruk. Jadi mereka membuat keputusan untuk berteduh dan tinggal dalam kereta Proton Iswara milik mereka.
Keperitan yang dialami oleh mereka berdua berakhir apabila menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejabat Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri).
Sementara itu, Nolee Ashilin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan berkata, pihaknya bekerjasama NGO serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membina sebuah rumah dua bilik untuk pasangan itu.
Dalam pada itu, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, seramai 32 anggota bomba ditugaskan untuk membina rumah itu yang dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan Deepavali, bulan depan.
Pada masa yang sama, Rajakumar dan Sivagamselvan turut menzahirkan kegembiraan dan berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar