Pihak polis berjaya menahan dua individu yang bertindak nekad melarikan sebuah kereta peronda jenis Honda Civic 1.8S di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Kereta peronda baru milik PDRM tersebut difahamkan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).
Pada mulanya, suspek dikatakan menyamar sebagai anggota polis dengan memasuki kawasan IPD dengan menunggang motosikal. Suspek kemudian mendakwa mahu melakukan pemeriksaan terhadap kereta peronda, sebelum melarikan Honda Civic tersebut.
Setelah gerakan memburu suspek dijalankan, pihak polis berjaya menangkap kedua-dua suspek dan menemui semula kereta peronda tersebut berhampiran lampu isyarat di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, setelah difahamkan menuju ke arah selatan tanah air.
Kedua-dua suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.
Untuk makluman, Honda Civic 1.8S adalah kenderaan terbaru digunakan PDRM yang dilengkapi peralatan komunikasi dan kamera berteknologi terkini sejak pertengahan September lalu.
Sebanyak 425 kereta Honda Civic 1.8S yang dilengkapi peralatan komunikasi RMPNet, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih digunakan PDRM dengan menelan kos keseluruhan bernilai RM67 juta.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar