Honda City serba baharu telah dilancarkan dengan empat varian dan harga bermula RM74,191.27 (selepas pengecualian cukai jualan). Walaupun Malaysia bukan pasaran pertama mendapat Honda City 2020 ini dan walaupun Thailand mendapat enjin 1.0-liter turbo, pasaran kita tetap istimewa.
Ini kerana pelancaran City di Malaysia merupakan World Premiere untuk varian RS. Ya, negara kita merupakan yang pertama mendapat City RS dengan powertrain e:HEV baharu.
Anda mungkin telah tahu banyak perkara mengenai City 2020, namun kami ingin tampilkan 6 faktor yang boleh buat anda tertarik pada sedan segmen-B Honda ini. Setuju atau tidak dengan kami, sama-sama kita lihatkan 6 perkara di bawah:
1. Rekaan hensem dan sporti
Seperti rekaan model-model Honda yang lain, City juga menerima penggayaan yang cukup dinamik dan pada kami, menepati selera pembeli-pembeli di Malaysia.
Dengan lampu depan LED, DRL LED dan bar depan gril menjadikan City ini sekilas pandang sama macam rupa depan abang-abangnya iaitu Civic dan Accord. Varian City RS pula mendapat bar depan hitam yang lebih garang.
Lampu belakang tiga-dimensi pula menampakkan rekaan City yang lebih matang dan lebih premium dengan pencahayaan LED. Kalau malam-malam ikut dari belakang pasti mudah kenal ianya City.
2. Enjin lebih canggih dan moden
Untuk pasaran Malaysia, Honda City 2020 didatangkan dengan pilihan enjin konvensional dan hibrid e:HEV.
Enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC memacu varian V, E, dan S, cukup dengan 121hp dan 145Nm tork. Enjin ini merupakan naik taraf dari City generasi sebelum ini yang menggunakan Single Over Head Cam (SOHC), maka DOHC menjanjikan lebih kuasa dan penjimatan.
Sementara itu, varian RS dikuasakan oleh powertrain baharu i-MMD iaitu Intelligent Multi Mode Drive. Pakej ini terdiri dari dua motor elektrik berkuasa 108hp dan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson dengan 98hp dan 127Nm.
Keseluruhan gabungan ini memberikan jumlah tork maksima 253Nm dari 0 hingga 3,000rpm! Ya, output ini bukan sahaja tertinggi dalam kelasnya, malah lebih tinggi dari sesetengah model segmen-C dan D sekalipun.
Ini juga bukanlah kali pertama Honda menawarkan sistem hibrid, City sebelum ini pernah mendapat sistem i-DCD (Dual Clutch Drive). Hidup mestilah perlu makin canggih bro!
3. Lebih luas dan praktikal
Honda City 2020 lebih panjang 111mm dari sebelumnya. Ia juga lebih rendah dan lebar, ini secara teorinya pasti memberikan pengendalian lebih baik.
Dari segi wheelbase (jarak roda depan dan belakang), ia lebih pendek tetapi menurut Honda, ruang dalamannya lebih luas. Anda tidak perlu ragu-ragu bab ini kerana Honda memang pakar bahagian rekaan dalaman.
Ini dicapai kerana Honda telah mereka-bentuk semula tempat duduk depan untuk memberikan ruang kaki luas di tempat duduk belakang. Lihat sahaja dalam video di bawah dimana penulis melihat sendiri tahap kelegaan kaki di tempat duduk belakang.
Selain itu, Honda City 2020 (semua varian kecuali RS) mempunyai kapasiti kargo seluas 519 liter, paling besar dalam kelasnya.
Haa sumbat selagi muat!
4. Ciri kemudahan mendahului pesaing
Untuk menjadikan Honda City lebih canggih, pembaharuan diberikan pada ciri kemudahannya, iaitu Remote Engine Start (varian RS, V dan E) dan brek parkir elektronik (varian RS sahaja).
Kedua-dua ciri ini juga yang pertama seumpamanya dalam segmen-B ini. Dengan adanya Remote Engine Start, sambil kita pakai kasut dan kunci pintu rumah, boleh panaskan enjin dan sejukkan kabin dahulu. Masuk kereta terus jalan!
5. Ciri keselamatan terbaik dalam segmen
Ciri keselamatan dipertingkatkan dengan City serba baharu ini. Ia mendapat Honda LaneWatch (varian V dan RS) dan Honda SENSING (RS sahaja) yang terdiri dari 7 ciri keselamatan terkini, paling lengkap dalam segmennya.
Honda LaneWatch membolehkan anda memeriksa kawasan titik buta di sebelah kiri kenderaan dengan hanya menekan satu butang.
Honda SENSING pula merangkumi pelbagai ciri keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning dan Lane Keeping Assist System yang bukan sahaja meningkatkan keselamatan, tetapi mengurangkan beban kepada pemandu.
6. Lebih nilai untuk wang
Dengan semua penambahan, naik-taraf dan teknologi yang diberikan pada Honda City serba baharu ini, anda pasti ingat harganya akan bertambah mahal, bukan?
Tidak, sebaliknya Honda City 2020 adalah lebih murah jika dibandingkan dengan varian sama dari generasi sebelumnya. Sebagai contoh, Honda City 1.5 V sebelum ini berharga RM92,000, manakala varian V terbaharu berharga RM89,800. Selepas pengecualian cukai jualan, harganya kini RM86,561.45.
Ini bermakna anda sebenarnya mendapat lebih nilai untuk wang anda.
Jadi itulah dia 6 faktor yang boleh buatkan anda tertarik dengan Honda City serba baharu ini. Adakah anda setuju dengan semua senarai kami?
Untuk maklumat lanjut dan tempahan Honda City 2020, layari https://www.honda.com.my/model/city.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar