Ustaz Ebit Lew kini tampil memberi pertolongan kepada pemandu-pemandu teksi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perkara ini dikongsikan di laman Facebook rasmi miliknya.
Nasib pemandu teksi difahamkan terjejas teruk kerana pandemik Covid-19, sehingga ada di antara mereka terpaksa tidur di dalam kereta sementara mendapatkan pelanggan.
Ada juga di antara mereka yang keluar seawal pukul 6 pagi mencari penumpang dan pulang ke rumah sehingga tengah malam, namun hasil yang diperolehi tidak seberapa.
Menurut beberapa pemandu teksi, ada di antara mereka yang memperoleh sekitar RM80 dalam masa seminggu, berpendapatan RM400 sebulan, bahkan ada yang tiada pendapatan langsung dari bulan Mac.
“Abang dan kakak ni menangis kata. Ustaz, terima kaseh datang sudi tanya khabar kami. Sudi bantu kami. Semua cakap sikit menangis. Ya Allah, sedihnya suasana macam ni,” kata Ebit Lew.
Suasana menjadi bertambah hiba apabila Ustaz Ebit turut membacakan doa dan menyampaikan bantuan makanan bagi meringankan serba sedikit beban yang ditanggung pemandu teksi ini.
Pendakwah itu juga turut memanjatkan doa memohon keampunan kerana bimbang bantuannya tidak dapat menampung keperluan golongan berkenaan.
Siaran tersebut mencapai 68 ribu Likes, 3.6k Share dan mendapat 1.8k komen dari warganet semasa artikel ini ditulis.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar