Sebagai sebahagian daripada usaha Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) untuk menggantikan kesemua bas awam kepada bas yang lebih mesra alam menjelang 2040, sebanyak 10 buah bas elektrik dua tingkat dilancarkan.
Sekarang, sistem pengangkutan awam Singapura mempunyai 5,800 bas. Dengan kesemuanya 60 bas elektrik dilancarkan menjelang tahun depan, pengeluaran gas karbon akan berkurangan sebanyak 7,840 tan setahun.
Ini bersamaan dengan pengeluaran gas karbon oleh 1,700 kereta. Selain mengurangkan pencemaran udara, kemudahan terbaru ini juga boleh mengurangkan kadar bunyi bising kepada persekitaran.
Oleh kerana saiz baterinya yang besar, bas dua tingkat itu hanya boleh memuatkan sehingga 120 penumpang iaitu kira-kira 10 peratus lebih sedikit berbanding bas-bas sedia ada.
Namun LTA berharap dengan kemajuan teknologi, saiz bateri ini boleh dikecilkan ataupun tenaga alternatif lain boleh digunakan untuk model-model bas akan datang.
Menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat, walaupun kos bas elektrik adalah lebih mahal, ia akan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan menghijau buat negara tersebut.
“Saya percaya dengan kemajuan teknologi, harga bateri, bas elektrik dan bas yang menggunakan tenaga lebih bersih akan berkurangan dan kita akan ada lebih banyak pilihan. Ini adalah cara kita ambil langkah awal ke arah masa depan yang lebih menghijau dan kita mahu mulakan sekarang,” kata Chee.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar