Serentak dengan pelancaran Hyundai Kona, HSDM (Hyundai Sime Darby Motor) turut memperkenalkan Sonata serba baharu.
Sedan segmen-D generasi kelapan dari pengeluar Korea ini hadir dengan rupa berkonsepkan ‘Sensuous Sportiness’ dan ditawarkan dalam satu varian, 2.5 Premium pada harga RM189,888.
Harga ini hanyalah untuk 50 unit pertama sahaja dimana anda dapat penjimatan RM17k. Harga asalnya ialah RM206,888.
Baik, jom kita lihatkan dengan lebih terperinci sedan yang cantik dan premium ini. Sonata generasi terbaharu sebenarnya diinspirasikan dari konsep empat-pintu coupe Le Fil Rouge yang ditayangkan pada 2018 di Geneva Motor Show.
Rupa depannya sangat berbeza dari Hyundai sebelum ini, menampilkan Digital Pulse Cascading Grille yang diapit oleh sepasang lampu LED berserta DRL LED yang menyala dari garisan Hidden Lighting Lamps.
Gaya Sonata ini dari sisi nampak sporti dengan gaya coupe empat-pintu yang memberikannya bumbung rendah di belakang yang terus condong hingga ke but. Terdapat juga spoiler di belakang, manakala rim adalah 18-inci.
Di belakang, gayanya juga tak mahu kalah. Ia mendapat lampu LED memanjang lebar dari hujung kiri ke kanan.
Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Sonata 2020 ini didatangkan dengan enjin Smartstream G2.5 baharu yang direka agar lancar dan menjimatkan. Ia menghasilkan 180hp dan 232Nm tork, serta dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.
Kabin Sonata ini diberikan kelengkapan moden dan terkini seperti paparan instrumen 12.3-inci (pertama dalam kelasnya) yang boleh memaparkan pelbagai maklumat pemanduan.
Di tengah-tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 8-inci untuk unit infotainmen yang turut menyokong Android Auto dan Apple Carplay.
Sesuai dengan gayanya, sistem keselamatan turut lengkap dan terkini. Antaranya ABS, ESC, Hill-Start Assist Control (HAC), Brake Assist, Vehicle Stability Management dan Blind-Spot Collision Warning (BCW).
Pilihan warna untuk Hyundai Sonata ini termasuklah White Cream, Shimmering Silver, Nocturne Grey, Oxford Blue, Midnight Black dan Flame Red.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar