MotoGP: Pengeluar dan semua pasukan Yamaha dipotong mata

2873

FIM (Fédération Internationale de Motocyclisme) telah memotong mata untuk pasukan-pasukan (Yamaha dan Petronas SRT) serta pengeluar (Yamaha) kerana melanggar undang-undang teknikal MotoGP.

Dalam satu berita dari Valencia, Sepanyol, telah dinyatakan semua enjin MotoGP Yamaha yang digunakan di Jerez sedang disiasat oleh pasukan teknikal FIM kerana kemungkinan melanggar peraturan. Ianya berkaitan injap yang tidak sah pada M1.

Yamaha mengalami beberapa masalah semasa pusingan pembukaan MotoGP di Jerez dan terpaksa mengambil beberapa langkah pembetulan.



Pasukan itu mula menemui isu dengan komponen bermasalah dari pembekal luar semasa Maverick Vinales mengalami masalah.

Pengeluar Jepun itu terpaksa mengambil langkah pencegahan yang mengurangkan sedikit jumlah kuasa. Isu itu kemudiannya dikatakan bukan dari semua injap-injap itu, tetapi hanya yang digunakan di Jerez.

Setakat ini hanya Fabio Quartararo yang tidak mengalami sebarang isu enjin. Tetapi Vinales, Valentino Rossi dan Franco Morbidelli pernah mengalami sekurang-kurangnya sekali.

Selepas menyiasat perkara itu, FIM tidak mengatakan secara spesifik perinciannya tetapi mendakwa Yamaha kerana ‘gagal menghormati protokol untuk mendapat kelulusan dari MSMA untuk perubahan teknikal’ pada motosikal mereka.

Penalti itu menyebabkan penolakan mata, bukan sahaja kepada pengeluar tetapi kepada pasukan-pasukannya. Ini bermaksud Yamaha kehilangan 50 mata kejuaraan, sementara pasukannya kehilangan 20 mata.

Dengan itu, Petronas SRT yang kehilangan 37 mata bermakna jurangnya dengan Suzuki kini semakin besar, dari 235 kini kepada 198 mata. Sementara itu Suzuki masih mendahului kejuaraan dengan 242 mata.

Yamaha pula jatuh ke tempat kelima dalam kedudukan pasukan selepas hilang 20 mata, kini 156 dari 176 sebelum ini. Ia membantu ‘menaikkan’ kedudukan KTM yang kini mempunyai 157 mata.

Untuk bahagian pengeluar, Yamaha kehilangan kedudukan pertamanya dalam kejuaraan, kini di tempat ketiga, dengan 158 mata berbanding 208 sebelumnya. Ini bermakna Ducati kini pendahulu dengan 171 mata diikuti Suzuki dengan 163.

Mujurlah Quartararo kekal di tangga kedua penunggang dengan 123 mata, di belakang Joan Mir dengan 137. Vinales ‘cucuk rapat’ dengan 118, sementara Morbidelli 112 mata.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here