Tiada prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menetapkan kedudukan penumpang kenderaan perlu berada di tempat duduk belakang atau hadapan.
Perkara ini dinyatakan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung satu video yang tular kononnya seorang pemandu kereta dikenakan saman oleh polis kerana membenarkan penumpang berada di tempat duduk bersebelahan pemandu dalam kenderaan.
Beliau menegaskan, tiada sebarang penetapan untuk penumpang duduk di kerusi belakang atau sebelah pemandu dalam kenderaan, asalkan mereka dari rumah yang sama.
“Semalam, saya lihat satu video tular dan berniat jahat kononnya pemandu disaman kerana membenarkan penumpang duduk di bahagian (tempat duduk) depan (sebelah pemandu) kenderaan.
“Saya terus hubungi pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman untuk mendapatkan kepastian, namun dijelaskan video itu adalah berniat jahat,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya video berkenaan jelas mahu merosakkan nama baik pasukan polis kerana pemandu yang disaman bukan kerana isterinya duduk di sebelah, sebaliknya kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Dia diambil tindakan kerana kesalahan itu (menggunakan telefon bimbit semasa memandu), tetapi disebarkan seolah-olah pihak polis tidak menggunakan budi bicara, kejam dan sebagainya.
“Banyak perkara diviralkan di media sosial tidak betul. Video berkenaan jelas memfitnah pihak polis dan kita minta Bukit Aman ambil tindakan sewajarnya kepada perakam video dan yang menyebarkan kerana ia memburukkan imej polis,” katanya lagi.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar