Walaupun keadaan ekonomi dunia sekarang tidak menentu akibat penularan pandemik Covid-19, MV Agusta tetap mahu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-75.
Sambutan ini dilakukan dengan memperkenalkan sebuah motosikal edisi terhad iaitu Superveloce 75 Anniversario.
Motosikal ini dihasilkan dalam kuantiti yang terhad, iaitu hanya sebanyak 75 unit untuk seluruh dunia. Bukan itu sahaja, MV Agusta juga difahamkan akan menjual motosikal ini secara dalam talian (online) hanya dalam masa 75 jam.
Jualannya telah bermula pada 15 November 2020, dan untuk tempahan, seseorang perlu membayar sebanyak USD118 (RM485). Superveloce 75 Anniversario difahamkan dijual pada harga USD29,560 (RM121k).
Untuk spesifikasi, motosikal ini dikuasakan oleh enjin 3-silinder sebaris 798cc DOHC yang sama seperti model F3 800, dimana ia mampu menghasilkan sehingga 147hp pada 13,000 rpm.
Penampilan luaran motosikal ini pula disertakan dengan gabungan warna bendera Itali iaitu merah, putih dan hijau. Ia juga dilengkapi roda dengan gabungan warna emas dan hitam, beserta temapt duduk yang dibalut dengan kemasan Alcantara yang bewarna merah.
Superveloce 75 Anniversario juga hadir dengan ekzos Arrow yang hanya digunakan untuk litar perlumbaan, unit kawalan yang disertakan dengan pemetaan khas, dan plat aluminium bernombor pada hendal. Setiap pembelian motosikal ini akan disertakan dengan sijil pengesahan.
Ketika artikel ini ditulis, motosikal ini telah pun habis dijual. Anda boleh semaknya di sini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar