Lamborghini Huracan STO yang lebih ringan, RWD sahaja!

3522

Lamborghini semalam memperkenalkan sebuah versi baru dari model Huracan, yang khas untuk kegunaan litar sahaja.

 



Dikenali sebagai Huracan Super Trofeo Omologato atau Huracan STO, supercar ini merupakan generasi seterusnya dari Huracan Super Trofeo Evo. Omologato dalam bahasa Itali bermaksud homologasi.

Huracan STO menggunakan enjin yang sama dengan model Huracan Performante, iaitu enjin V10 5.2-liter naturally-aspirated yang mampu menghasilkan sehingga 630hp.
 
Berat keseluruhan supercar ini juga telah berkurang iaitu sebanyak 43kg berbanding Huracan Performante. Jadi, berat tanpa cecair Huracan STO hanyalah 1,338kg.
 
 
Penjimatan berat keseluruhan diperoleh melalui pelbagai kaedah, termasuk dengan peningkatan penggunaan bahan gentian karbon pada badan sehingga 75 peratus, cermin yang lebih nipis dan tidak lagi menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD).
 
Huracan STO menggunakan sistem pacuan roda belakang (RWD) sama seperti Huracan Super Trofeo.
 
 

Untuk prestasi, supercar ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa tiga saat atau kurang, 0-200km/j dalam masa sembilan saat, dan mencapai kelajuan maksimum pada 310km/j.

 

Dengan rotor brek karbon-seramik CCM-R tahan luntur dari Brembo yang disertakan, Huracan STO difahamkan memerlukan jarak kurang dari 30 meter untuk berhenti ketika berada pada kelajuan 100km/j.

Aerodinamik juga memainkan peranan utama dalam prestasi STO, memandangkan banyak ruang kemasukan udara yang disertakan termasuk di bahagian fender.

Majoriti ruangan dalam disertakan dengan kemasan Alcantara dan gentian karbon. Tali pinggang keledar dengan empat point yang disertakan menggambarkan bahawa supercar ini khas untuk kegunaan litar sahaja.

Lengkungan pada bahagian tayar belakang diperbuat dari aloi titanium dan 40 peratus lebih ringan dari lengkungan pada bahagian belakang yang diperbuat dengan keluli tahan karat konvensional.

Huracan STO turut disediakan dengan mod pemanduan sendiri, yang boleh diakses melalui butang pada stereng. Terdapat juga tiga mod lain yang disediakan iaitu STO, Trofeo dan Pioggia yang masing-masing sesuai untuk kegunaan jalan raya, kegunaan litar dan kegunaan pada cuaca basah.

Lamborghini Huracan STO dijual pada harga USD327,838 (RM1.3 juta) dan akan mula dihantar kepada pelanggan pada musim bunga tahun hadapan iaitu sekitar bulan Mac.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here