Pendakwah, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew yang popular dengan sifat pemurahnya sekali lagi tampil membantu individu memerlukan.
Kali ini, bantuan yang diberikan membabitkan nasib malang dialami lelaki Orang Asli apabila motosikal miliknya terbakar ketika perjalanan memohon bantuan Baitulmal.
Ustaz Ebit Lew menerusi laman Facebooknya memaklumkan, dia telah membelikan sebuah motosikal yang baharu khusus untuk Amran Ronggi, 29.
Katanya, dia berasa sebak apabila mengetahui kisah yang menimpa keluarga berkenaan.
“Sebak rasa baca pasal abang bersama dua anaknya perlu bantuan di Johor dan motosikal terbakar dalam perjalanan. Hari ini saya belikan motosikal baharu hadiahkan kepada abang ini serta sedikit duit belanja,” katanya.
Amran kini tinggal perkampungan Orang Asli Kuala Masai.
Kisah membabitkan bapa kepada empat anak itu tular selepas motosikal ditunggangnya terbakar ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan buat keluarganya di Plaza Tol Senai pada Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, motosikal ditunggang Amran dan dua orang anaknya terbakar di Plaza Tol Senai ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan Baitulmal.
Sementara itu, Ustaz Ebit Lew turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada 84 keluarga yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Kuala Masai itu.
Ebit turut berkata, syukur banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan buat keluarga ini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar