Nama Cizeta Automobili mungkin tidak begitu popular di Malaysia. Untuk makluman, syarikat ini mula ditubuhkan pada 1980-an di Modena, Itali oleh Claudio Zampolli.
Salah satu kereta keluaran pengeluar ini iaitu Cizeta V16T, yang dimiliki oleh Sultan Brunei difahamkan sedia untuk dijual.
Menurut laman web Curated yang berpusat di Miami, Cizeta V16T keluaran tahun 1993 ini dilengkapi dengan casis #101, dan ia pernah dipamerkan di Geneva Auto Show 1993 sebelum menjadi milik pengumpul kereta itu.
Seperti kebanyakan koleksi kereta Sultan itu, kereta ini tidak pernah didaftarkan dan sangat jarang dipandu. Malah, kereta ini bahkan memiliki perbatuan hanya 996km.
Berdasarkan rupa bentuknya, kereta ini berkemungkinan hanya disimpan dalam bilik pameran, berdasarkan tayar yang masih original tahun 1993 dan keadaan cat yang tidak menunjukkan tanda-tanda karat.
Ruangan dalam juga masih berada dalam keadaan baik, dimana tempat duduknya kelihatan seperti tidak pernah digunakan. Kereta ini boleh dikatakan sebagai salah satu unit Cizeta terbaik di dunia yang ada pada masa kini.
Cizeta V16T ini dikuasakan oleh enjin V16 6.0-liter yang menampilkan teknologi 64 injap, lapan camshaft, dua sistem pancitan bahan api, empat kepala silinder dan dua rantai pemasa.
Secara keseluruhan, kereta ini mampu menghasilkan sehingga 540hp dan 542Nm tork. Menurut Business Insider, Cizeta V16T ini akan mula dijual pada harga USD725,000 (RM2.9 juta).