Kereta meletup dan terbakar, Romain Grosjean keluar dengan selamat!

1937

Pemandu Formula 1, Romain Grosjean terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan keretanya hangus dijilat api di Grand Prix Bahrain, semalam. Kemalangan itu menyebabkan perlumbaan dihentikan serta-merta.

Dalam pusingan pertama di selekoh ketiga, Grosjean terbabas ke luar litar selepas ‘bersentuh’ dengan Daniil Kvyat dan kereta Haas miliknya menghentam penghadang tepi litar, meletup dan terbelah dua.



Pemandu warga Perancis itu walaubagaimanapun terselamat dan berjaya meloloskan diri dari kebakaran itu beberapa saat kemudian. Dia kemudiannya ditarik ke tepi litar oleh pasukan kecemasan.

“Dia dalam keadaan baik, dia mengalami sedikit kesan melecur pada tangan dan buku lali,” kata Guenther Steiner, prinsipal pasukan Haas.

“Dia agak terkejut dan kini menjalani pemeriksaan penting selepas perlanggaran seperti ini. Dia sedarkan diri.”

Pasukan Haas juga menambah di Twitter: “Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk pemeriksaan lanjut, Romain akan dibawa ke hospital.”

Dianggarkan terdapat 18 hingga 20 saat antara detik perlanggaran dengan keluarnya Grosjean dari kebakaran itu.

Bahagian depan kereta yang terbelah dua itu terus terletak pada sisi penghadang litar.

“Dalam 12 tahun saya tak pernah melihat api sebesar itu,” kata Alan van der Merwe, pemandu kereta medik.

“Kemudian Romain terus mula keluar dari kenderaannya sendiri, dikira agak menakjubkan selepas insiden seperti itu.

“Itu juga menunjukkan semua sistem, halo, penghadang, dan tali pinggang keledar, berfungsi dengan sepatutnya. Tanpa salah satu dari ini, pasti kesannya berbeza.”

Grosjean mula menyertai Formula Satu pada 2009 dan memandu untuk pasukan Haas pada 2016, walaupun dia dikatakan akan meninggalkan pasukan itu pada hujung musim ini.

Pemandu berusia 34 tahun itu mempunyai 10 podium sepanjang kariernya.

Sumber gambar: CNN

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here