Memandangkan musim sejuk yang telah bermula di hemisfera utara, Rolls-Royce kini memperkenalkan satu aksesori baharu yang direka oleh Bespoke Collective.
Dikenali sebagai ‘Pursuit Seat’, tempat duduk mudah alih ini kini boleh didapati di laman web rasmi mereka dan di pusat pengedar Rolls-Royce seluruh dunia dengan harga USD8,788 (RM35k).
“Kami telah menerapkan pepatah Sir Henry Royce, iaitu “ambil yang terbaik dari apa yang ada dan jadikannya lebih baik,“ pada tempat duduk ini,“ kata pereka Rolls-Royce Bespoke, Matthew Danton.
“Dihasilkan dengan standard yang betul dan tepat dari Rolls-Royce namun tetap sesuai dengan konsep asalnya, Pursuit Seat dihasilkan khas untuk dunia kontemporari. Tempat duduk mudah alih ini akan memberikan penggunanya menikmati keselesaan, walaupun diletakkan di mana-mana sahaja,“ tambahnya.
Dihasilkan menggunakan gentian karbon dan aluminium gilap (polished aluminium), tempat duduk mudah alih ini disertakan dengan balutan kulit yang akan memberikan nisbah kekuatan-kepada-berat yang optimum dan ketinggiannya boleh dilaraskan sepenuhnya.
Dari segi sokongan, ada muncung tajam yang boleh digunakan untuk memacak dan menahan tempat duduk atas permukaan rumput atau tanah lembut.
Pursuit Seat disediakan dengan pelbagai pilihan warna yang boleh disesuaikan warna ruangan kabin Rolls-Royce. Sekiranya tempat duduk ini tidak digunakan, ia boleh diletakkan di dalam sarungnya yang diperbuat dari bahan kulit.
Menurut Rolls-Royce, tempat duduk mudah alih ini dapat disimpan di mana-mana model Rolls-Royce dan sangat sesuai pada Rolls-Royce Cullinan yang dilengkapi dengan modul rekreasi.
Perkara lain yang menarik pada tempat duduk mudah alih ini ialah ia disertakan bersama lampu suluh aluminium yang bersaiz kecil dan mempunyai logo RR pada bahagian engselnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar