Hyundai Elantra generasi ke-7 kini di Malaysia, transmisi IVT baharu, RM159k

1631

Selepas tempahan dibuka pada 30 November lepas, Hyundai Elantra serba baharu dilancarkan secara rasmi hari ini.

Sedan segmen-C ini ditawarkan pada harga RM158,888 (tanpa insurans) dan akan bersaing terus dengan model-model seperti Honda Civic, Mazda3, dan Toyota Corolla Altis.



Hyundai Elantra 2021 ini merupakan generasi ketujuh. Seperti Sonata juga, Elantra ini menampilkan rekabentuk inovatif dan unik yang jarang dilihat pada kereta-kereta lain sebelum ini.

Rekabentuk Hyundai Elantra 2021 mempunyai elemen dramatik yang mana pereka-bentuknya menggelar sebagai “Futuristic Parametric Dynamics”.

Elantra serba baharu ini akan mendapat enjin petrol Smartstream G1.6 MPi yang berkuasa 123hp pada 6,300rpm dan 154Nm tork pada 4,500rpm. Sedan ini juga merupakan model pertama Hyundai yang mendapat transmisi IVT (Intelligent Variable Transmission) dengan lapan nisbah maya.

Menurut Hyundai, transmisi ini akan memberikan kecekapan bahan api, prestasi lebih baik serta penukaran gear yang responsif.

Terdapat empat mod pemanduan boleh dipilih iaitu Smart, Comfort, Eco dan Sport. Mungkin mod-mod lain biasa kita dengar, tetapi apa itu Smart? Mod ini sebenarnya seperti automatik, ia akan ‘membaca’ cara pemanduan kita dan menyesuaikan kereta mengikut keadaan.

Selain dari rekaan menonjol, Hyundai Elantra baharu mempunyai kabin “immersive cocoon” yang memberikan segala kawalan mudah dicapai pemandu, seperti kokpit pesawat.

Paparan pemandu terdiri dari skrin Supervision TFT 10.25-inci manakala unit infotainmen adalah berukuran 8-inci serta menyokong semua aplikasi terkini.

Hyundai Elantra generasi ketujuh ini dibina di atas pelantar K3. Selain dari casis mantap dan teguh, pelantar ini juga memberikan dimensi 2.2-inci lebih panjang dan 1.0-inci lebih lebar.

Walaupun nampak kecil, ruang dalaman sebenarnya banyak peningkatan. Berbanding generasi sebelum ini, Hyundai Elantra 2021 mempunyai ruang kepala depan dan belakang lebih luas, serta ruang kaki lebih lega.

Kapasiti but pula ialah 470 liter. Untuk lebih muatan, tempat duduk belakangnya boleh dilipat dengan cara 60/40.

Untuk keselamatan, Elantra didatangkan dengan pakej Smartstream yang merangkumi:

  • Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA) dengan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA)
  • Smart Cruise Control (SCC)
  • Lane Keep Assist (LKA) dan Lane Following Assist (LFA)
  • Forward Collision Avoidance Assist
  • Rear Occupant Alert
  • Safe Exit Warning
  • Driver Attention Warning
  • Leading Vehicle Departure Alert

Untuk perlindungan lebih, Elantra juga mendapat jaminan lima-tahun atau 300,000km (yang mana dahulu).

Untuk maklumat lanjut, layari www.hyundai.com.my atau lawati sahaja ke mana-mana bilik pameran sah Hyundai.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here