Alpine dan MV Agusta bekerjasama dalam menghasilkan sebuah motosikal edisi terhad yang diinspirasikan dari Alpine A110.
Dikenali sebagai Superveloce Alpine, model ini disertakan dengan warna biru menarik yang sama seperti Alpine A110. Motosikal edisi terhad ini juga dilengkapi dengan lencana dan logo Alpine serta roda CNC yang berwarna hitam.
Tempat duduk dengan ciri Alcantara hitam bersama sulaman benang biru turut disediakan, termasuk bendera Itali dan Perancis pada bahagian sisi fender hadapan.
Superveloce Alpine dikuasakan oleh enjin 3-silinder 798cc yang mampu menghasilkan 145hp dan 88Nm tork. Namun, jika disertakan dengan kit lumba yang menawarkan ECU khas dan ekzos Arrow, motosikal ini mampu menghasilkan sehingga 151hp.
Enjin yang disediakan digabungkan dengan transmisi 6-kelajuan yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum pada 240km/j.
Ciri lain yang terdapat pada motosikal edisi terhad ini ialah lengan ayun aluminium, brek depan dari Brembo dan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa II. Model ini juga dilengkapi dengan komponen dari gentian karbon dan titanium, serta paparan digital 5-inci.
Superveloce Alpine hanya akan dihasilkan dalam unit yang terhad, iaitu 110 unit dan akan mula dijual pada harga €36,300 (RM178,210) temasuk kit lumba.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar