Firefly Airlines akan memulakan operasi penerbangan menggunakan pesawat jet dari hab utaranya di Pulau Pinang ke tiga destinasi iaitu Kota Kinabalu, Kuching and Johor Bahru bermula bulan depan.
Syarikat di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) itu ketika ini hanya menggunakan pesawat jenis turboprop bagi menjalankan operasi penerbangannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See, syarikat penerbangan itu akan memulakan operasi penerbangan dua kali sehari antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu serta Kuching dan tiga kali sehari antara Pulau Pinang ke Johor Bharu.
“Perkhidmatan penerbangan ini akan menggunakan pesawat Boeing 737-800, menggunakan pesawat lebihan yang dipunyai Malaysia Airlines.
“Pulau Pinang dipilih kerana ia adalah lokasi yang bagus untuk bermula kerana mempunyai gabungan hiburan dan perniagaan korporat yang hebat,“ katanya.
See berkata, penerbangan baharu itu akan berkongsi kod dengan Malaysia Airlines dan pelanggan boleh mengumpul serta menebus mata ganjaran Enrich points.
“Dari segi perbezaan produk, Firefly akan menawarkan perkhidmatan tambang rendah yang mana penumpang boleh memilih produk dan perkhidmatan yang dimahukan.
“Ia seperti konsep DIY (layan diri) namun pada masa sama penumpang juga boleh menikmati manfaat penuh dengan menjadi sebahagian daripada MAG,“ katanya.
Tambahnya, penubuhan hab operasi Firefly di Pulau Pinang akan memerlukan pelaburan minimum daripada MAG pada 2021.
“Pelaburan ini dijangka akan meningkatkan kadar pengeluaran, yang diukur menggunakan purata tempat duduk setiap kilometer, sebanyak 36 peratus dalam tempoh lima tahun ini,“ katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar