Mempunyai sebuah supercar sudah tentu menjadi impian setiap individu, namun tidak semua orang mampu memilikinya. Bukan sahaja harganya yang mahal, cukai dan penyelenggaraannya juga sudah tentu memerlukan kos yang tinggi.
Walaupun tidak mampu memiliki kereta eksotik, Executive Mod Trendz (E.M.T.) yang berpangkalan di Mumbai, India berjaya melakukan ubah suai besar-besaran, iaitu dengan menghasilkan kit yang agak menarik.
Kit ini akan menjadikan sebuah Honda Civic 2009 diubahsuai menjadi Lamborghini Aventador, dan hanya memerlukan kos yang tidak begitu tinggi untuk menghasilkannya.
Selain kit yang sama dengan Lamborghini Aventador, lampu hadapan dan belakang Honda Civic 2009 ini juga telah diubah suai sama seperti yang terdapat pada supercar tersebut.
Bukaan pintu replika Lamborghini Aventador ini bagaimanapun tidak diubah suai dan dapat dibuka seperti kereta biasa. Selain roda berwarna hitam, replika ini turut disertakan dengan kaliper brek berwarna merah yang menambahkan lagi penampilan sportinya.
Oleh kerana pada asasnya ia merupakan sebuah Honda Civic 2009, enjin replika ini iaitu unit 1.9-liter yang digabungkan dengan transmisi automatik terletak pada bahagian hadapan, tidak sama sepeti enjin Aventador sebenar yang terletak di bahagian belakang.
Oleh itu, memandangkan enjin berada di bahagian hadapan, ruangan but belakang replika ini agak luas.
Keseluruhan bahagian dalam juga telah diubahsuai dimana terdapat dua tempat duduk khas dengan logo Lamborghini.
Konsol tengah pada replika ini juga dihasilkan lengkap dengan push start button dan beberapa bahagian yang disertakan dengan bahan gentian karbon.
Berdasarkan undang-undang di India, ubah suai yang keterlaluan seperti ini tidak sah dan akan disita oleh pihak polis, melainkan ianya hanya disimpan sebagai pameran.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar