Toyota Motor Corp pada Jumaat lalu melancarkan sebuah kereta elektrik (EV) dua tempat duduk untuk pasaran Jepun. Untuk permulaan, EV ini akan ditawarkan kepada pelanggan korporat dan kerajaan tempatan.
Dikenali sebagai C+pod, EV ini akan dijual pada harga 1.65 juta yen (RM64k), dan mempunyai jarak pemanduan sehingga 150km dengan kelajuan maksimum 60km/j.
Unit trenkuasa yang digunakan adalah motor elektrik (12.3hp/56Nm) dan pek bateri lithium-ion berkapasiti 9.06kWh. Berat kereta ini juga sekitar 690kg sahaja disebabkan penggunaan panel luar yang diperbuat daripada plastik.
Menurut Toyota, bateri C+pod boleh dicas sehingga penuh dengan menggunakan soket kuasa biasa yang mengambil masa 16 jam, dan soket kuasa yang lebih berkuasa, yang mengambil masa hanya 5 jam.
Mereka juga akan memperluaskan jualan EV ini kepada orang awam pada tahun 2022.
Berukuran 2.5 meter panjang dan 1.3 meter lebar, C+pod memiliki saiz yang lebih kecil dari kenderaan mini konvensional di Jepun. Oleh itu, EV ini akan memberi kemudahan kepada pemandu ketika memarkir kenderaan di ruangan yang sempit.
Kereta elektrik ini dilancarkan sebagaimana Perdana Menteri, Yoshihide Suga berjanji untuk menjadikan Jepun sebagai negara dengan bebas bahan karbon menjelang tahun 2050.
Langkah seperti memperkenalkan pelbagai jenis EV juga akan dilakukan bagi mencapai misi tersebut.
Secara keseluruhan, C+pod ini layak mendapat potongan cukai dan subsidi dari kerajaan Jepun sekitar 300,000 Yen (RM11.7k).
Bekerjasama dengan Tokyo Electric Power Company Holdings Inc., Kansai Electric Power Co. dan Chubu Electric Power Co., Toyota akan menerima tempahan untuk pemasangan kemudahan cas kuasa dan penyediaan tenaga elektrik yang dihasilkan dengan kaedah yang tidak mengeluarkan karbon dioksida.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar